ARIF   (kanan) dan Vountus turut kecundang.
ARIF (kanan) dan Vountus turut kecundang.

Gwangju: Skuad badminton negara terpaksa akur dengan kehebatan Korea Selatan yang melangkah ke final acara berpasukan campuran dengan kemenangan 3-0 di Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2015, semalam.

Kekalahan ini bermakna gangsa sah menjadi milik Malaysia dan ia adalah pingat pertama kontinjen negara pada edisi ke-28 di Gwangju.

Tuan rumah tampil sebagai pilihan utama, seterusnya memenangi emas menewaskan China di final, apabila membariskan pemain elit mereka mudah mengenepikan cabaran Malaysia di Pusat Sukan Hwasun Hanium.

“Pada pandangan saya, mereka tidak patut (menghantar beregu terhandal) namun mungkin disebabkan menjadi tuan rumah menyebabkan semua pemain utama Korea Selatan disenaraikan.

“Pemain utama kita juga bertungkus lumus untuk mengalahkan mereka, jadi apatah lagi dengan pemain universiti yang kita bawa,” kata jurulatih negara Mohd Sazlee Mohd.

Katanya, mereka tidak dapat meminjam pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia walaupum ada yang masih belajar seperti di Universiti Malaya.

“Kita tidak mampu untuk menggunakan pemain tertentu kerana mempunyai kejohanan lain yang sudah diputuskan BAM. Jadi saya berharap kami dapat meminjamkan mereka selepas ini,” tambahnya.

Pada pertemuan itu, Malaysia tidak dapat menurunkan Zulfadli Zulkiffli dan Lydia Cheah yang tidak berada pada tahap terbaik.

Pasangan lelaki negara Jagdish Singh/Low Juan Shen yang turut sebagai wakil pertama negara tewas 20-22, 18-21 disusuli kekalahan Slyvia Kavita Kumares kepada Kim Hyo-min 4-21, 7-21.

Harapan mencuri satu mata punah apabila Mohd Arif Latif yang sebagai perseorangan lelaki kecundang dalam aksi dua set.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 8:08 AM