Oleh Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Misi utama T-Team hanya satu, untuk layak semula beraksi dalam Liga Super musim depan.

Justeru, pasukan berstatus kelab dari Kuala Terengganu itu mahu berusaha keras bagi merealisasikan misi besar itu dalam saingan Liga Perdana, musim ini.

Pegawai Operasi T-Team Syahrizan Mohd Zain berkata, persiapan pasukan itu berjalan lancar, cuma menanti aksi pembuka tirai awal bulan depan.

“Kami sedar misi besar pasukan untuk kembali ke Liga Super semula bukan perkara mudah apatah lagi hanya mempertaruhkan pemain muda.

“Sudah pasti pasukan lain juga mempunyai impian sama dengan kita, namun ia tidak mustahil kerana dalam bola sepak apa saja boleh berlaku,” katanya.

Syahrizan berkata, pihaknya menaruh keyakinan tinggi terhadap tiga awang import iaitu pemain kebangsaan Uzbekistan, Sadriddin Abdullaev (tengah) dan Farhod Tadjiyev (penyerang) serta pertahanan kelahiran Nigeria, David Faramola Oniya.

Menurutnya, ketiga-tiga pemain import itu bakal menjadi tunjang utama The Titans dalam mengharungi Liga Perdana musim ini.

“Kami kagum dengan tiga pemain import musim ini kerana cepat serasi dengan pemain tempatan selain cemerlang di bahagian masing-masing.

“Kami lihat prestasi pasukan begitu meyakinkan pihak pengurusan dan penyokong. Justeru, pasukan kali ini lebih mantap berbanding musim lalu,” katanya.

Mengikut jadual, pasukan yang mendapat sentuhan bekas jurulatih kebangsaan remaja Croatia itu akan memulakan aksi sulung Liga Perdana bertemu PKNS FC.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:24 AM