Kuala Lumpur: Perbadanan Nasional Berhad (PNS) optimis mampu membuka lebih luas lapangan francais dalam segmen penjagaan kesihatan di negara ini yang berteraskan teknologi, sekali gus dapat diperluaskan kepada bidang berkaitan.

Buat permulaan, ia diunjurkan untuk berada di bawah rangkaian francais berkonsepkan ‘BioShoppe’ dengan kerjasama Malaysian Biotechnology Corporation Sdn Bhd (Biotech Corp).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, ia bakal menyediakan platform kepada syarikat yang mempunyai status BioNexus di bawah Biotech Corp bagi pemasaran produk mereka ke pasaran.

Katanya, ia adalah jalinan kedua-dua pihak apabila melihat peluang dalam industri itu secara domestik dan antarabangsa.

“PNS akan memberi khidmat nasihat dalam bentuk idea menjalankan perniagaan francais dan skim pembiayaan kepada bakal pengurus dan francaisi BioShoppe.

“Ia mungkin dijalankan sebagai secara penembusan rantaian runcitan sedia ada sebelum diperluaskan kepada peragaan konsep sendiri di bawah BioShoppe,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu akan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan untuk terbabit dalam industri francais yang mempunyai potensi dan nilai tinggi dalam pasaran global.

Menurutnya, prospek pasaran berkaitan bioteknologi khususnya kesihatan menawarkan peluang perniagaan yang dapat membuka jalan kepada kerjasama antarabangsa dalam membawa produk tempatan ke luar dan sebaliknya.

“Jalinan ini sedang dalam proses pelaksanaan dan diunjurkan kita dapat melihat hasilnya kemungkinan pada pertengahan pertama tahun depan atau seawal akhir tahun ini bergantung kepada ketersediaan keseluruhannya,” katanya.

Kerjasama antara PNS dan Biotech Corp dimeterai pada Persidangan Bio-International Advisory Panel (BIO-IAP) 2014 pada 22 September hingga 24 September lalu di New York, Amerika Syarikat.

Sejak 2005, Biotech Corp sudah membantu pembangunan 225 syarikat berstatus BioNexus dengan nilai pelaburan RM3.2 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:05 AM