Tasik Gelugor: Perbadanan Nasional Bhd (PNS) merancang untuk melahirkan 250 usahawan prafrancaisi melalui Program Transformasi Perniagaan (BIT) tahun ini.

Ketua Bahagian Operasi PNS, Shahrul Azlan Mohd Zulkifli berkata, BIT adalah program bersepadu PNS dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), universiti dan persatuan dalam usaha memodenkan perniagaan golongan penjaja dan peniaga kecil.

Katanya, program ini telah diperluaskan ke wilayah utara melalui Pejabat Koridor PNS di Pulau Pinang pada suku pertama tahun ini.

“Sejak diperkenalkan pada 2012, program BIT telah melahirkan 39 prafrancaisor yang terdiri daripada usahawan kecil yang perniagaan mereka berpotensi untuk dimajukan,” katanya, semalam.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Datuk Shabudin Yahaya telah merasmikan Program Peluang Pembiayaan Francais - BIT.

Shahrul berkata, PNS yakin program itu akan memudahkan bakal usahawan mendapat pelbagai maklumat berkaitan perniagaan francais dan skim pembiayaan yang ditawarkan. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 8:36 AM