Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Wakil Hong Kong, Vincent Wong menyebabkan Datuk Lee Chong Wei terpaksa bermandi peluh sebelum jaguh perseorangan negara itu mencatat kemenangan 21-17, 20-22, 21-10 pada pusingan ketiga Grand Prix (GP) Terbuka Kanada, semalam.

Chong Wei sepatutnya tidak berdepan masalah menewaskan pilihan kelima kejohanan itu, namun kerana tidak mahu terlalu mengerah tenaga, Vincent memanfaatkan peluang itu untuk memenangi set kedua.

“Hari ini (semalam), Chong Wei diuji baik dari sudut fizikal atau pun tahap kecergasannya.

“Memang sepatutnya perlawanan itu tidak harus sampai ke rubber set. Chong Wei mahu beraksi lebih santai di set kedua tetapi lawannya mula mendapat keyakinan.

“Apabila memperoleh keyakinan, sudah tentu corak permainannya menjadi.

“Tetapi Chong Wei kembali fokus di set ketiga dengan mempamer permainan lebih pantas sehingga lawannya tidak mampu mengikut rentaknya,” kata jurulatih perseorangan negara Hendrawan ketika dihubungi semalam.

Dengan kemenangan itu, Chong Wei bakal bertemu pilihan ke-10 dari India B Sai Praneeth pada suku akhir, hari ini.

Chong Wei baru saja bertemu Praneeth di Grand Prix (GP) Emas Terbuka Amerika Syarikat (AS) minggu lalu yang menyaksikan jaguh negara itu muncul juara.

Pemain ranking ke-180 itu ketika ini sedang berusaha mengutip mata sebanyak mungkin bagi memperoleh undian lebih selesa di Kejohanan Dunia Ogos depan.

Sementara itu, gandingan beregu negara Hoon Thien How/Lim Khim Wah turut cemerlang menewaskan pilihan ketiga dari Jerman Michael Fuchs-Johannes Schoettler 13-21, 21-18, 21-14.

Thien How-Khim Wah bakal bertemu pasangan Taiwan, Ko Chi Chang/Tzu Wei Wang di suku akhir, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2015 @ 5:19 AM