CHONG Wei buru kejuaraan pertama selepas digantung lapan bulan.
CHONG Wei buru kejuaraan pertama selepas digantung lapan bulan.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei semakin hampir untuk merangkul kejuaraan pertama selepas memenuhi hukuman penggantungan selama lapan bulan apabila mara ke separuh akhir Grand Prix (GP) Emas Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Pada aksi suku akhir di Kolej Komuniti Suffolk County, New York semalam, bekas pemain nombor satu dunia itu tidak berdepan masalah untuk menewaskan pemain England, Rajiv Ouseph 21-9, 21-14 dalam tempoh 32 minit.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Chong Wei bertemu pilihan ke-16, B Sai Praneeth dari India pada separuh akhir awal pagi tadi.

Chong Wei sebelum ini sudah membuat penampilan pada saingan Piala Sudirman serta Sukan SEA dalam acara berpasukan, namun secara individu, ia penampilan pertamanya selepas terpaksa berehat seketika berikutan kegagalan ujian doping.

Jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan yang mengiringi Chong Wei ke Amerika berkata, prestasi anak buahnya itu lebih meyakinkan berbanding ketika bergelut menewaskan pemain muda China, Kai Guo pada suku akhir.

“Hari ini (semalam) penampilan Chong Wei lebih baik berbanding kelmarin. Saya sudah mengingatinya sebelum ini bahawa setiap lawan yang akan ditemui selepas ini pasti lebih sukar.

“Bagi perlawanan separuh akhir, saya harapkan Chong Wei dapat lebih fokus dan tidak memandang mudah lawannya itu.

“Yang penting, saya nampak dia begitu bersungguh-sungguh untuk menang,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi Chong Wei setakat ini, Hendrawan berkata, pemain itu berjaya meningkatkan persembahannya di gelanggang dari semasa ke semasa.

Sebagai rekod, Chong Wei sudah dua kali bertemu Praneeth dan memenangi kedua-dua pertemuan itu dengan kali terakhir pada Terbuka Indonesia, dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 5:04 AM