Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Gandingan beregu lelaki utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong semakin hampir melakar sejarah tersendiri di Grand Prix (GP) Terbuka Russia 2015 apabila berjaya memenangi saingan suku akhir semalam.

V Shem-Wee Kiong tidak berdepan masalah menundukkan pasangan tuan rumah, Konstantin Abramov-Alexandr Zinchenko 21-14, 21-7 dalam perlawanan yang berlangsung selama 22 minit di Vladivostok.

Menurut V-Shem, mereka beraksi baik dan tidak berdepan masalah walaupun menentang pasangan tuan rumah.

“Bagaimanapun, permainan esok (hari ini) dijangka sukar apabila terpaksa bertemu rakan senegara dan bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Hoon Thien How-Lim Khim Wah di separuh akhir,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelasnya, Thien How-Khim Wah sudah pasti mengetahui kelemahan mereka apabila pernah berlatih bersama-sama sebelum ini di Stadium Juara Bukit Kiara.

“Kita akan lihat semasa perlawanan nanti, siapa yang nampak lebih bertenaga akan berjaya,” kata pemain kelahiran Kuala Lumpur yang berusia 26 tahun itu.

Thien How-Khim Wah yang mewakili Akademi Sports Affairs, mara ke separuh akhir selepas menumbangkan satu lagi pasangan tuan rumah, Nikita Khakimov-Vasily Kuznetsov 21-9, 23-21.

Hasrat Malaysia untuk menguasai acara beregu lelaki di separuh akhir tidak kesampaian apabila Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tumpas kepada pilihan pertama, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov 14-21, 13-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 33 minit.

Turut mara ke separuh akhir pemain bebas, Zulfadli Zulkiffli yang mengalahkan wakil Israel Misha Zilberman 21-17, 21-9 dan hari ini dia bakal berdepan Raul Must dari Estonia yang sebelum itu mengejutkan pilihan ke-11 dari Russia Vladimir Malkov 21-18, 21-14.

Nasib berbeza buat seorang lagi pemain perseorangan negara, Chong Wei Feng apabila kalah kepada Ajay Jayaram dari India 15-21, 13-21.

Pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berjaya ke separuh akhir apabila mengalahkan gandingan tuan rumah, Rodion Alimov-Alina Davletova 21-15, 21-19.

Mereka akan berdepan satu lagi wakil Russia yang juga pilihan ketiga, Vitalij Durkin-Nina Vislova yang sebelum itu menumpaskan pasangan Perancis Gaetan Mittelheisser-Audrey Fontaine 21-15, 21-12.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 5:05 AM