Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Hanya tinggal selangkah saja lagi buat Datuk Lee Chong Wei kembali merasai nikmat juara apabila mara ke pentas final Grand Prix (GP) Emas Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas mudah menewaskan wakil India B Sai Praneeth 21-9, 21-17 pada aksi separuh akhir semalam.

Berlangsung di Suffolk Country Community College, New York, bekas pemain nombor satu dunia itu tenang menundukkan Praneeth dalam tempoh 34 minit sekali gus mengekalkan rekod bersih menang kesemua tiga perlawanan ke atas wakil India itu.

Kini, hanya sensasi Denmark Hans Kristian Vittinghus menjadi satu-satunya penghalang Chong Wei apabila kedua-duanya bertemu di final awal pagi tadi.

Vittinghus mempamerkan aksi cemerlang dengan menewaskan pilihan pertama Chou Tien Chen 12-21, 21-11, 21-13 di separuh akhir.

Jurulatih perseorangan negara Hendrawan (gambar) ketika dihubungi berkata, prestasi Chong Wei semakin meningkat selain lebih fokus pada setiap perlawanan.

“Untuk final, saya harap Chong Wei dapat lebih fokus lagi. Sudah tentu apabila beraksi di final cabarannya lebih sukar,” katanya.

Mengenai Vittinghus, Hendrawan berkata, lawan Chong Wei itu sememangnya sedang berada pada prestasi terbaik ketika ini.

“Dia seorang pemain yang mempunyai semangat melawan cukup tinggi.

“Untuk itu, selain perlu fokus pada perlawanan final nanti, saya harap Chong Wei tidak memandang mudah lawannya itu,” katanya.

Chong Wei sudah memenangi kesemua tiga perlawanan ke atas Vittinghus sebelum ini.

Terbuka AS adalah kejohanan pertama secara individu disertai Chong Wei selepas memenuhi hukuman penggantungan lapan bulan dari Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berikutan gagal ujian doping.

Sebelum ini, Chong Wei sudah membuat penampilan secara berpasukan di saingan Piala Sudirman serta Sukan SEA selepas berakhir tempoh hukuman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 6:26 AM