Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Gandingan beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying terus mempamerkan aksi meyakinkan apabila mara ke separuh akhir Grand Prix (GP) Emas China Masters 2015 selepas menewaskan pasangan Thailand, Chayut Triyachart-Shinta Mulia Sari 22-20, 21-16, semalam.

Turut meneruskan perjuangan, beregu wanita utama negara Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang menewaskan gandingan Jepun, Arisa Higashino-Chisato Hoshi 21-15, 21-11 dalam tempoh 33 minit.

Meskipun mara ke separuh akhir, Liu Ying berasa dia gagal beraksi baik, sebaliknya berterima kasih kepada Peng Soon yang sentiasa membantunya sepanjang perlawanan.

“Hari ini (semalam) bukan prestasi terbaik saya terutama set pertama. Peng Soon banyak memberi kata-kata semangat walaupun hakikatnya saya kurang berfungsi berbanding dia,” katanya ketika dihubungi semalam.

Liu Ying berharap perkara itu tidak akan berulang apabila bertemu pilihan utama kejohanan dari China, Liu Cheng-Bao Yixin pada aksi separuh akhir hari ini.

“Sudah lama saya tidak beraksi bertemu lawan yang sangat kuat.

“Menang atau kalah tidak penting tapi saya hanya mahu memberikan yang terbaik,” katanya.

Tiga lagi wakil beregu negara tewas kepada lawan masing-masing semalam.

Tai Aik Quan-Lai Pei Jing tewas kepada Liu Cheng-Bao Yixin 19-21, 18-21 manakala Tan Chee Tean-Shevon Lai tunduk di tangan Wang Yilv-Tang Yuanting 11-21, 13-21.

Hoon Thien How-Lim Khim Wah pula gagal menyekat kemaraan Liao Min Chun-Tseng Min Hao apabila tewas mudah 16-21, 18-21.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:03 AM