RIZUAN menunjukkan Roti John Hulk yang dijual di gerainya di Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya.
RIZUAN menunjukkan Roti John Hulk yang dijual di gerainya di Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya.
Nursyahirah Marzuki

Putrajaya: Berbuka puasa dengan juadah roti John adalah perkara biasa namun ia menjadi luar biasa apabila anda boleh menikmati keenakannya dengan memilih pelbagai warna adiwira kegemaran masing-masing.

Gerai Roti John Super Hero di bazar Ramadan di sini, menjadi tumpuan orang ramai apabila mereka ditawarkan empat jenis warna roti mengikut pakaian adiwira terkenal iaitu Hulk (hijau), Spiderman (merah), Superman (biru) dan Batman (hitam).

Pemilik gerai, Nor Amri Abdul Talib, 37, berkata, walaupun kali pertama berniaga di bazar Ramadan, dia tidak menyangka idea untuk menggunakan warna adiwira berjaya menarik orang ramai untuk membelinya.

“Penangan roti john yang didatangkan dengan pelbagai warna membuatkan orang ramai mula beratur panjang seawal jam 5 petang di gerai saya, malah ada yang sanggup menunggu walaupun azan Maghrib sudah berkumandang.

“Selain warna roti, resipi inti atau bahan yang digunakan berbeza daripada roti John yang lain kerana ia lebih padat dengan pelbagai ramuan yang direka sendiri,” katanya.

Katanya, dia menghasilkan kira-kira 200 bungkus roti John sehari dan menjualnya pada harga RM6 setiap satu.

“Alhamdulillah, roti John Super Hero sudah mula popular dalam kalangan penduduk di sini dan menjadi menu pilihan mereka untuk berbuka puasa. Namun, saya terpaksa menolak pesanan daripada pelanggan yang datang selepas jam 7.45 malam kerana tidak mampu untuk membuat lebih daripada 200 bungkus sehari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2017 @ 9:44 AM