BARISAN artis Uprising Entertainment seronok meraikan anak yatim.
BARISAN artis Uprising Entertainment seronok meraikan anak yatim.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Belumpun seminggu umat Islam berpuasa, sudah banyak syarikat daripada pelbagai bidang menganjurkan aktiviti berbuka puasa bersama anak yatim dan rumah kebajikan. Kesempatan sama diambil syarikat pengurusan artis, Uprising Entertainmnet yang diadakan Sabtu lalu di Fiq’s Gastronomy, Subang Jaya.

Membabitkan artis di bawah naungannya seperti Ummi Nazeera, Kaka Azraff, Juliana Evans, Nazrief Nazri, Hafreez Adam, Raja Syahiran dan Afeeq Emir, majlis iftar itu turut meraikan 48 anak yatim dari Rumah Anak Yatim dan Miskin Sungai Pinang, Kapar. Jelas terpancar kegembiraan pada wajah mereka yang bukan saja diraikan, tetapi dapat beramah mesra dengan artis popular tanah air.

Menurut Pengarah Urusan Uprising Entertainment, Afdal Shahizad, ini, majlis berbuka puasa pertama anjuran syarikatnya sejak mula ditubuh­kan.

“Selain meraikan anak yatim, majlis itu turut memberi peluang artis yang ada untuk beramal pada bulan baik ini. Tidak ada yang lebih bermakna apabila melihat setiap anak yang hadir seronok dan puas.

“Terima kasih juga kepada semua pihak yang bekerjasama menjayakan majlis ini seperti Fiq’s Gastronomy, Flux Media, The Media Hustler, Gaya Decor dan Mastar Catering,” katanya.

Afdal turut mengumumkan, syarikatnya melangkah setapak lagi dalam bidang penerbitan apabila bakal menerbitkan program berbentuk travelog yang akan memulakan penggambaran pada penghujung Ogos ini.

“Kami sentiasa bersema­ngat, malah mengalu-alukan kerjasama dengan individu lain yang punya keazaman tinggi untuk melebarkan sayap dalam lapangan hiburan. Selain itu, kami turut menyediakan khidmat perunding Perhubungan Awam (PR) kepada mana-mana pihak yang berminat,” katanya.

Tidak hanya diraikan dalam majlis berbuka puasa, anak yatim terbabit turut menerima sumbangan duit raya yang disampaikan barisan artis.

Turut hadir, Pengerusi FINAS, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Kongsi kegembiraan

Bagi pemenang Artis Baru Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH 2014, Hafreez Adam, pembabitannya pada acara sebegini adalah peluang untuknya melakukan lebih banyak aktiviti berbentuk amal selepas ini.

“Jujurnya saya teruja apabila dapat berbuka bersama anak yatim dan masa sama meraikan mereka. Lebih bermakna, ia acara pertama saya dan aris lain berkumpul beramai-ramai dalam satu majlis.

“Saya melihat ini satu permulaan baik bukan saja untuk saya dan syarikat, tetapi semua pihak agar sentiasa membuka mata betapa ada individu lain yang lebih memerlukan. Saya berharap semoga usaha kecil kami ini mendapat keberkatan Ilahi.

“Secara peribadi, Insya-Allah selepas ini saya bersama rakan artis lain merancang mengadakan satu lagi majlis berbuka puasa yang turut membabitkan anak yatim. Bila dan siapa artisnya, ia masih dalam perbincangan,” katanya.

Adam juga melahirkan rasa seronok kerana berpeluang hadir pada acara terbabit, sekali gus dapat beramah mesra dengan peminat dan rakan media.

Sementara itu, sebagai ahli keluarga baru dalam Uprising Entertainment, pelakon, Ummi Nazeera, 25, bersyukur kerana diberi kesempatan untuk bersama-sama meraikan anak yatim.

“Alhamdulillah dan seronok apabila dapat hadir di majlis sebegini. Bukan selalu kita dapat meluangkan masa degan anak yatim. Bulan Ramadan ini memang mendekatkan kita dengan semua orang di samping dapat me­ngeratkan lagi silaturahim.

“Apabila diberitahu yang syarikat akan mengadakan majlis iftar, saya teruja dan sangat bersyukur. Memandangkan ini tahun pertama bersama mereka, saya rasa bertuah. Semoga diberi kesempatan lain selepas ini,” katanya.

Berbeza dengan pelakon Hidayahmu Ramadan, Naz­rief Nazri, 24, dia bertuah menjadi artis naungan Uprising Entertainment.

“Alhamdulillah majlis yang diadakan berjalan lancar. Tambahan pula saya dan rakan artis yang hadir dapat meluang­kan masa berbuka puasa bersama anak yatim.

“Melihat mereka tersenyum dan gembira membuatkan hati saya tersentuh. Malah, kedua-dua ibu bapa dan kelab peminat saya yang hadir turut gembira. Pendek kata, saya bersyukur dapat berkongsi kemeriahan sambutan Ramadan dengan tetamu yang hadir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 10:55 AM