BAKAL lancar kafe.
BAKAL lancar kafe.
Syanty Octavia Amry


Sekian lama diuruskan ibunya, pelakon dan pengacara genit, Elfira Loy memilih bernaung di bawah syarikat pengurusan Laugh Out Loud (LOL) Entertainment bermula 25 Jun lalu.

Anak kedua daripada empat beradik ini yakin dengan kemampuan LOL menguruskan kerjayanya. Apatah lagi dia sudah lama mengenali tulang belakang LOL dan selesa bekerjasama.

“Sebelum ini jadual kerja saya diuruskan mama. Berikutan jadual yang semakin padat dan kesibukan belajar, sudah sampai masa mencari syarikat menguruskan perjalanan seni saya.

“Kasihan juga dengan mama dan kerana itulah saya pilih untuk bersama LOL.

“Dengan kepakaran LOL, jadual kerja saya akan lebih tersusun,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran LOL baru-baru ini.

Menyingkap perkemba­ngan terkini, Elfira bakal melancarkan kafe yang diberi nama Love Me Seven Days selepas Aidilfitri.

Kafe yang beroperasi di Alam Damai, Cheras itu sudah dibuka untuk percubaan dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

“Sepanjang Ramadan saya masak di kafe. Insya-Allah ia akan beroperasi sepenuhnya selepas lebaran nanti,” katanya yang dijangka menamatkan pengajian di Kolej Damansara Utama hujung tahun ini.

Selain Elfira, artis yang bernaung di bawah LOL ialah Dafi, Rozita Che Wan, Zain Saidin, Aaisyah Dhia Rana, Jehan Muse dan Sabhi Sadhi.

Majlis berbuka puasa LOL turut dimeriahkan dengan kehadiran 25 penghuni Rumah Anak Yatim alFirdaus dan Rumah Orang Tua Warisanasihah, Bukit Jelutong, Shah Alam. Majlis itu turut ditaja G2 Network Worldwide Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 5:05 AM