AMIRA (dua dari kiri) ketika meraih gangsa bersama kuartet 4x100m.
AMIRA (dua dari kiri) ketika meraih gangsa bersama kuartet 4x100m.
Oleh Aida Adilah Mat

Putrajaya: Kecederaan yang terus menghantuinya menyebabkan atlet yang juga pemegang rekod kebangsaan lompat kijang negara, Noor Amira Mohamad Nafiah terpaksa melupakan acara itu dan kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada acara lompat jauh dan 4x100 meter.

Kecederaan tumit berulang antara penyebab dia perlu melupakan acara kegemarannya itu dan berharap dapat melakarkan catatan terbaik peribadi di Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2015 di Gwangju, Korea Selatan bermula dari 3 hingga 14 Julai ini menerusi acara lompat jauh.

Namun biar dalam apa cara sekalipun fokus tetap diberikan dan akan terus mewakili negara.

“Memang ada sedikit perbezaan penyertaan saya di Universide kali ini. Dua tahun lalu saya menyertai acara lompat kijang dan kali ini lompat jauh. Untuk menang pingat memang sukar tapi saya cuba memberi aksi terbaik.

“Lagi pula sekarang baru saja tamat Sukan SEA dan masih berada dalam prestasi terbaik, insya-Allah saya akan cuba melayakkan diri ke pusingan akhir terlebih dahulu,” katanya yang ditemui selepas sesi taklimat dan garis panduan atlet muslim yang akan berpuasa sepanjang kejohanan.

Amira yang sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan berkata, dia berazam mencatat rekod peribadi terbaik mengatasi lompatan sejauh 6.27m dan seandainya berjaya dia akan mencatatkan rekod baru kebangsaan milik Ngew Sin Mei 6.27m.

Mengulas persiapannya selepas tamat Universide, Amira berkata, dia hanya akan memberi tumpuan kepada latihan berikutan tiada lagi pertandingan besar akan disertai.

Fokus latihan terarah kepada acara lompat jauh dan pemenang pingat gangsa acara 4x100m Sukan SEA Singapura itu akan turut memberi tumpuan kepada acara kuartet itu.

Katanya, jika diberi peluang temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur, dia mungkin akan menyertai acara 4x100m sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 8:42 AM