Palembang: Dua emas, lima perak dan satu gangsa. Itu pencapaian hari pertama acara olahraga Sukan Universiti Asean (AUG) 2014 yang berlangsung di Stadium Olahraga Jakabaring, semalam.

Emas buat kontinjen negara disumbang Mohamad Arif Zulhilmi Alet menerusi acara 400 meter lelaki dan S Navin Raj dalam acara lompat tinggi lelaki.

A Kavee (lompat tinggi lelaki), Nurul Faizah Asma Mazlan (400m wanita), Yap Jeng Tzan (lempar cakera wanita), Zaidatul Husniah Zulkifli (100m wanita) dan Jonathan Nyepa (100m lelaki) menghasilkan perak manakala satu-satunya gangsa disumbangkan Noor Amira Mohamad Nafiah menerusi acara lompat jauh.

Satu rekod kebangsaan berjaya dipecahkan apabila Noor Amira melakukan lompatan 6.29 m, mengatasi rekod lama 6.27 m yang dicatat Ng Sin Mei pada 2005.

Noor Amira turut memegang rekod kebangsaan dalam acara lompat kijang, 13.90 m.

“Saya memang menyasarkan untuk memecahkan rekod kebangsaan di AUG kerana ia temasya penutup 2014.

“Sasaran peribadi sudah dipenuhi dan ini rekod terbaik saya setakat ini.

“Apa yang membuatkan saya gembira ialah lompat jauh adalah acara yang mula saya sertai sejak tahun lalu. Sebelum ini saya sertai lompat kijang, tetapi selepas cedera di tumit, saya beralih ke lompat jauh.

“Saya trauma untuk kembali aktif dalam lompat kijang kerana bimbang kecederaan di tumit ini kembali berulang. Saya serik,” katanya yang akur sekadar gangsa dalam acara itu.

Sementara itu, Zaidatul Husniah yang memenangi perak 100m wanita berkata, dia agak kecewa apabila kakaknya Zaidatul Husna gagal menamatkan larian gara-gara kecederaan hamstring.

“Kami memasang impian untuk menduduki kelompok tiga teratas, tetapi dia gagal menamatkan larian. Dia yang selama ini banyak memberi dorongan pada saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 8:06 AM