MENTERI Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam (dua kiri) bersama Kamalanathan (tiga kiri) melawat pameran pendidikan selepas merasmikan majlis pelancaran. FOTO Roslin Mat Tahir
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam (dua kiri) bersama Kamalanathan (tiga kiri) melawat pameran pendidikan selepas merasmikan majlis pelancaran. FOTO Roslin Mat Tahir
Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: Kementerian Pendidikan sedang menunggu laporan berhubung kejadian murid mendakwa dicekik, ditampar dan dipijak gurunya dalam kejadian di Tikam Batu, Kedah, Rabu lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk P Kamalanathan berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu namun sedang menunggu laporan penuh daripada Jabatan Pendidikan Kedah.

Beliau berkata, kejadian itu tidak seharusnya berlaku malah guru perlu mengawal emosi.

"Kita akan siasat kejadian ini selepas dapat laporan.

"Sepatutnya murid berkenaan perlu diberikan kaunseling dan jika tidak berjaya, ibu bapanya perlu dipanggil.

"Pasti ada penyelesaian terhadap kejadian ini," katanya ditemui pada Majlis Pelancaran Karnival Hala Tuju Peluang Pendidikan Lepasan SPM dan STPM 2015 di sini, hari ini.

Rabu lalu, Khairul Najwan Jamseri, 12, mendakwa dicekik, ditampar dan dipijak gurunya hingga cedera kerana mengubah suai pemegang basikalnya.

Ibu bapanya sudah membuat laporan polis di Sungai Petani selepas kejadian.

Kamalanathan berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan terlebih dulu.

Berita berkaitan:

> ‘Selesai secara harmoni’: http://hmtro.com/1Qu7KnP

> ‘Saya tak kisah anak dirotan jika...': http://hmtro.com/1X1XlS9

> `Awat sampai lagu tu...?': http://hmtro.com/1RtRQrd

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2016 @ 2:46 PM