Kesempatan ini, Cik Pang nak ucapkan tahniah kepada penyanyi dari Mesir yang baru-baru ini datang ke Malaysia bagi memperkenalkan single qasidah berjudul Qamarun, siapa lagi kalau bukan Mostafa Atef.

Penyanyi berusia 24 tahun itu dikhabarkan baru saja bertunang dengan gadis pilihannya, juga berasal dari Mesir.

Nampaknya, peminat Mostafa yang mungkin simpan impian bergelar isterinya makan hati lah! Sudahlah penyanyi lagu Arab yang sedang popular saat ini, Hamoud al Khuder dengan lagu Kun Anta sudah berkahwin.

Cik Pang cuba juga selidik siapakah gadis bertuah pilihan Mostafa tapi tak banyak maklumat yang dapat dikorek.

Teman Cik Pang yang kebetulan berbual dengan teman baiknya di Malaysia, Hafiz Hamidun pun tidak dapat bercerita banyak.

Ikutkan, Hafiz nak mengajak temannya itu ke Malaysia sekali lagi sempena Ramadan. Kebetulan Mostafa seorang hafiz dan ada beberapa masjid di sini menawarkan tempat sebagai imam solat Tarawih.

Nampaknya, tak ada rezekilah untuk Ramadan kali ini, harap-harap Ramadan depan kalau umur panjang, dapatlah dengar alunan qasidah dan bacaan al-Quran daripada anak muda itu lagi.

Tapi kalau rindu sangat nak dengar alunan tilawah Mostafa, dengarnya album itu baru saja dilancarkan 1 Ramadan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 5:03 AM