Pasti peminat bola sepak Malaysia, terutama pasukan dikenali Harimau Selatan akan ternanti-nantikan saat ini. Bukan pasal pasukan bola sepak JDT itu akan beraksi di Piala Dunia tapi dengar khabarnya, kisah mereka akan difilemkan.

Kata teman Cik Pang, filem berkaitan perjalanan hidup pemain bola sepak dan seterusnya beraksi dengan pasukan bola sepak popular itu turut mendapat perkenan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim Ismail.

Malah, idea tercetus selepas menyaksikan peningkatan mendadak populariti pasukan itu dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Dedah teman Cik Pang, filem itu akan diarah pengarah yang kini berhijrah ke Johor Bahru kerana membuka akademi filem, Ahmad Idham. Sesi uji bakat mencari pelakon juga akan diadakan dalam masa terdekat.

Nampaknya, filem Red Warriors The Movie yang berkisar pasukan bola sepak Kelantan yang dijang­ka ditayangkan hujung tahun ini, sudah ada pesaing terdekat.

Mampukah kedua-dua filem berkaitan bola itu merancakkan kembali industri dan kutipan filem tempatan, kita tunggu dan lihat.

Cik Pang cuma berharap, adanya filem dengan idea sebegini mendapat perhatian dan sokongan padu semua golongan, bukan setakat peminat bola dari negeri Kelantan atau Johor saja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 12:25 PM