Apabila anggota Hyper Act, Toi memaklumkan penyanyi utama kumpulan itu, Ronnie disingkir secara rasmi melalui temuramah dengan radio baru-baru ini, ia langsung tidak mengejutkan rakan media mahupun peminat kumpulan itu.

Pertelingkahan antara anggota Hyper Act dan Ronnie sebenarnya bukan isu baru, malah perselisihan faham yang timbul antara mereka pernah Cik Pang kongsi dengan pembaca melalui ruangan ini.

Bagaimanapun, apabila ditanya kemungkinan Hyper Act berpecah atau Ronnie meninggalkan Hyper Act sebelum ini, masing-masing cuba mengelak mengulas lanjut dengan harapan masalah berbangkit dapat diselesaikan dengan cara baik.

Nampaknya apa yang diharapkan tidak berlaku apabila berlaku tuduh menuduh. Anggota Hyper Act mendakwa Ronnie sering mengadakan persembahan secara solo, sementar Hyper Act dalam diam menggunakan khidmat penyanyi undangan.

Apa yang akan berlaku selepas Ronnie disingkir? Dalam ke­nyataan diberi, Toi menegaskan, Hyper Act akan menampilkan penyanyi undangan dan Ronnie tidak dibenar menyanyikan lagi lagu kumpulan itu.

Mendengar kenyataan itu, ada pihak menyampaikan kepada Cik Pang, Ronnie benar-benar berkecil hati dengan kenyataan itu kerana sebahagian modal menghasilkan album sulung Hyper Act datangnya dari dirinya.

Kalau benar puncanya disebabkan Ronnie menyanyi solo, habis bagaimana pula dengan Toi yang juga sebelum ini turut menerima tawaran mengadakan persembahan secara solo.

Soal bayaran nyanyian yang diserahkan kepada syarikat ditubuhkan Hyper Act, takkan kalau setakat menyanyi bayaran RM500 nak kena bayar jugak.

Bagi Cik Pang, dalam hal ini kedua-dua pihak harus pandang ke depan. Tidak perlu lagi tuduh-menuduh dan ungkit-mengungkit.

Cik Pang percaya Ronnie boleh pergi jauh apabila bergerak solo. Sebelum ini pun, Ronnie ba­nyak juga menyanyi tampil duet dengan beberapa artis dan kumpulan popular. Jadi masih ada pilihan lagu untuk dinyanyikan selepas ini. Sementara menanti lagu solo disiarkan dan diputarkan di radio.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 12:20 PM