GOMEZ (kanan) lega pemain Johor DT bebas kecederaan.
GOMEZ (kanan) lega pemain Johor DT bebas kecederaan.

Johor Bahru: Jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Mario Gomez akan membimbing pasukannya beraksi di gelanggang lawan dan pastinya keinginan untuk membawa pulang tiga mata amat diidamkan.

Johor DT yang bertandang ke Kuala Terengganu dan beraksi di stadium kosong nyata tidak memberi tekanan buat Gomez dan berharap tuah Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menjadi milik Harimau Selatan, malam ini.

Apapun, Gomez tetap menganggap Terengganu mampu memberi ancaman seandai pemain Johor DT bersikap alpa dan terlalu mengambil mudah jika memberi ruang kepada skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim menguasai perlawanan.

“Ini adalah tugasan pertama saya di tempat lawan dan sememangnya saya mahukan keputusan positif untuk membawa pulang tiga mata. Apapun saya akui tidak mengetahui corak permaianan Terengganu.

“Hanya rakaman video sahaja menjadi rujukan untuk saya membuat persiapan berdepan Terengganu selain percaturan membentuk barisan mantap agak terjejas selepas sembilan pemain kebangsaan tidak bersama Johor DT ketika saingan liga berehat.

“Apapun saya anggap itu sebagai cabaran untuk memastikan setiap pemain berada pada tahap memuaskan. Saya lega selepas semua pemain tidak mengalami kecederaan serius kecuali Junior Eldstal yang mungkin diketepikan akibat kecederaan,” katanya.

Gomez juga turut memastikan setiap pemain Johor DT diberi pemakanan diet yang mencukupi sepanjang bulan Ramadan bagi mengelak mereka mengalami kekejangan perut apabila beraksi pada saingan liga.

Katanya, perbincangan bersama doktor pasukan merumuskan pemakanan sesuai untuk pemain Johor DT dan ia amat penting untuk beraksi 90 minit tanpa menggangu prestasi.

“Cukup mencabar kepada pemain beraksi pada bulan Ramadan dan saya akan pastikan mereka sentiasa berada pada tahap memuaskan. Apa yang penting mereka beraksi konsisten dan mengikut arahan taktikal yang sudah diterapkan,” kata Gomez.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 10:05 AM