PEMAIN Kedah Syafiq Ahmad (dua  kiri) menghalang pergerakan pemain Johor DT Aznie (kiri).
PEMAIN Kedah Syafiq Ahmad (dua kiri) menghalang pergerakan pemain Johor DT Aznie (kiri).

Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mario Gomez tetap berpuas hati dengan kemenangan ke atas Kedah 4-3 secara agregat pada separuh akhir Piala FA untuk memastikan slot ke pentas final milik skuad Harimau Selatan.

Lawan yang menanti Johor DT pada aksi final adalah PKNS yang berjaya menundukkan Perak 4-3 menerusi agregat dan kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan di Stadium Shah Alam, 14 Mei ini.

Apapun, Gomez tidak menafikan Azinee Taib yang memiliki beberapa peluang terhidang untuk menjaringkan gol perlu digilap lagi selepas kerap membazirkan rembatan bola yang seharusnya membuahkan hasil.

“Saya tidak memarahi Azinee yang terlepas beberapa peluang terbaik menjaringkan gol namun dia seolah-olah hilang tumpuan dan menyebabkan pemain itu tidak yakin untuk melakukan penyudah.

“Bagaimanapun, kesungguhan setiap pemain beraksi dengan begitu komited sepanjang 90 minit wajar dipuji malah mereka tidak kenal erti kalah selepas kami memulakan aksi itu dengan defisit 1-2.

“Apapun saya akui kesilapan kecil dilakukan pada pertengahan babak kedua selepas mengeluarkan Hariss Harun di posisi tengah menyebabkan kelonggaran di posisi itu dan ia membuka ruang untuk Kedah menjaringkan gol bagi mengikat agregat 3-3,” katanya.

Gomez menegaskan langkah itu terpaksa dilakukan kerana pada awal perancangan untuk menguatkan posisi tengah dengan memasukkan Amirulhadi Zainal bergandingan dengan Hariss namun ketiadaan pemain sayap kiri memaksanya meletakkan Amri Yahyah dan perlu mengeluarkan Hariss.

“Bagi aksi final nanti, saya kehilangan Fazly Mazlan yang terpaksa diketepikan akibat digantung satu perlawanan dan mungkin tempatnya akan diambil alih Jasazrin Jamaluddin yang tidak berdepan masalah beraksi di posisi itu.

“Kami juga akan berdepan aksi terakhir Kumpulan H Piala AFC menentang Bengaluru FC, 11 Mei ini dan amat lega kerana perlawanan itu di laman sendiri namun saya akan merehatkan tonggak utama dan akan menurunkan barisan yang sama ketika menentang Ayeyawady United, 26 April lalu,” kata Gomez.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 10:46 AM