London: Dua lelaki mencuri naik pesawat British Airways (BA) penerbangan sejauh 12,875 kilometer dari Johannesburg ke sini, dengan berpaut pada tayar pesawat dan malangnya seorang daripada mereka maut, terjatuh ke atas bumbung kedai berhampiran lapangan terbang manakala seorang lagi sedang dirawat di hospital.

Menurut polis Britain, lelaki itu dirawat selepas ditemui tidak sedarkan diri selepas pesawat berkenaan mendarat di Lapangan Terbang Heathrow. pagi semalam waktu London.

Polis juga menemui satu mayat lelaki di atas bumbung kedai di bawah laluan penerbangan pesawat berkenaan, dipercayai jatuh dari pesawat berkenaan.

Lelaki yang ditemui hidup berusia antara 25 hingga 30 tahun dan dilaporkan masih tidak sedarkan diri.

Polis dihubungi mengenai penemuan lelaki dalam pesawat itu pada jam 8.28 pagi semalam waktu tempatan (3,30 petang waktu Malaysia) manakala panggilan penemuan mayat itu pada jam 9.35 pagi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2015 @ 6:58 PM