PESAWAT Jetstar yang membuat pendaratan cemas akibat ancaman bom. FOTO AFP
PESAWAT Jetstar yang membuat pendaratan cemas akibat ancaman bom. FOTO AFP
BERNAMA

Tokyo: Lebih 60 penerbangan di Lapangan Antarabangsa Chubu Centrair di Aichi Prefecture, terpaksa dibatalkan selepas pesawat Jetstar melakukan pendaratan cemas kerana ancaman bom, lapor media Jepun.

Pesawat itu dalam perjalanan menuju dari Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo ke Fukuoka, yang terletak di Pulau Kyushu Jepun, ketika melakukan pendaratan cemas itu pada pagi Sabtu.

Nippon TV melaporkan, sebanyak 64 penerbangan di Lapangan Antarabangsa Chubu Centrair dibatalkan, manakala empat penerbangan lain terpaksa dilencongkan ke lokasi lain, lapor Sputnik.

Terdapat 136 penumpang dan enam anak kapal di dalam pesawat Jetstar.

Siaran NHK melaporkan pada hari Sabtu, memetik polis, seramai lima individu cedera ketika proses pemindahan.

Polis yang memeriksa pesawat terutama di bahagian penyimpanan kargo, bagaimanapun tidak menemui sebarang bahan letupan.

Pendaratan cemas itu menyebabkan landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chubu Centrair ditutup selama empat jam setengah, kata NHK.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 9:44 AM