PESAWAT Pakistan International Airlines di landasan Lapangan Terbang Stansted selepas dipintas dan diiringi jet pejuang Typhoon Tentera Udara Diraja. FOTO AP
PESAWAT Pakistan International Airlines di landasan Lapangan Terbang Stansted selepas dipintas dan diiringi jet pejuang Typhoon Tentera Udara Diraja. FOTO AP
AP

London: Jet pejuang Britain mengiringi pesawat awam Pakistan ke Lapangan Terbang Stansted berhampiran London pada Selasa selepas seorang penumpang menimbulkan gangguan ketika penerbangan.

Tentera Udara Diraja berkata, ia melancarkan jet Typhoon dari pangkalan di timur England pada petang Selasa dan pesawat Airbus A330 itu "dipintas dan selamat diiringi ke Lapangan Terbang Stansted" di utara ibu negara.

Ketika kejadian, penerbangan PK757 Pakistan International Airlines itu dalam perjalanan dari Lahore ke Lapangan Terbang Heathrow London.

Polis Essex berkata, lencongan itu disebabkan oleh "penumpang yang menimbulkan gangguan" dan kejadian itu "tidak dipercayai rampasan pesawat atau membabitkan keganasan."

Anggotanya bercakap dengan penumpang dalam pesawat terbabit dan dan lapangan terbang masih dibuka, katanya.

Sementara itu, Polis London selepas itu mengesahkan seorang penumpang berusia 52 tahun ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan penipuan dan sepatutnya ditahan di Heathrow apabila pesawat itu mendarat.

Polis tidak memberikan nama atau kewarganegaraannya. Pihak berkuasa juga tidak mengesahkan sama ada suspek adalah orang yang sama menimbulkan kekecohan tetapi berkata, dia tidak didakwa atas tuduhan menyebabkan gangguan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 4:09 AM