PESAWAT Alitalia itu sudah bersedia untuk berlepas apabila ia diarah kembali ke Terminal.
PESAWAT Alitalia itu sudah bersedia untuk berlepas apabila ia diarah kembali ke Terminal.

Rome: Seorang lelaki berdepan hukuman penjara atau denda berat selepas dia membuat panggilan palsu, mendakwa terdapat bom dalam pesawat supaya dia tidak terlepas penerbangannya.

Lelaki berusia 46 tahun itu terlambat tiba di lapangan terbang untuk penerbangan dari Turin ke Rome. Dia bertindak menelefon polis dan mendakwa ada bom dalam pesawat Alitalia yang hendak dinaikinya.

Dia berjaya menangguhkan penerbangan itu tetapi ditahan oleh polis sebaik tiba di Lapangan Terbang Rome.

Menurut laporan akhbar La Stampa, lelaki itu menelefon polis dan mendakwa mendengar dua penumpang Arab berbual mengenai bom di dalam pesawat itu.

Pesawat yang sudah bersiap untuk terbang itu terpaksa berpatah balik ke terminal. Semua penumpang diarah turun dan bagasi mereka diperiksa.

Selepas disahkan ancaman itu palsu, pesawat berkenaan dibenarkan terbang bersama-sama lelaki berkenaan dan tiba di Rome dua setengah jam lewat.

Polis yang menyiasat kes itu mengesan lelaki berkenaan dan menahannya sebaik dia tiba di Rome.

Selain kemungkinan dipenjara dan didenda, lelaki itu juga akan disenaraihitamkan dan dilarang menaiki pesawat pada masa depan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 5:08 AM