AMELIA (kanan) memeluk Fie Cho selepas berjaya merangkul emas.
AMELIA (kanan) memeluk Fie Cho selepas berjaya merangkul emas.

Kami sama handal, itulah yang diluahkan pemain badminton beregu wanita negara, Amelia Alicia Anscelly selepas berjaya merampas pingat emas Sukan SEA dari pasangan senegara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei di Stadium Tertutup Singapura semalam.

Amelia yang berpasangan bersama Soong Fie Cho memenangi emas apabila menang straight set, 21-18, 21-13 dalam tempoh 34 minit, manakala Vivian-Khe Wei sekadar berpuas hati dengan pingat perak.

“Emas yang diraih ini dapat membuktikan kami mampu memberi saingan kepada mereka,” katanya selepas majlis penyerahan pingat di sini semalam.

Pemain kelahiran Sabah itu berkata, kemenangan semalam juga memberi gambaran mereka sekadar pasangan nombor dua negara, tetapi mempunyai kekuatan serta kehebatan sama rata.

“Saya berharap kami mampu menumpaskan mereka lagi pada masa akan datang,” katanya yang menghadiahkan emas berkenaan kepada ibu bapa dan teman lelakinya.

Mengulas mengenai kemenangan semalam, Amelia berkata, mereka membuat persiapan rapi dan dalam masa sama sudah biasa beraksi ketika berlatih bersama.

“Kami sudah biasa bermain dengan mereka ketika berlatih, sedikit sebanyak mengetahui taktik dan cara permainan mereka. Dalam masa sama kami tidak tertekan berbanding mereka yang meraih emas dua tahun lalu.

“Ketika memasuki gelanggang kami bermain bermati-matian kerana tidak berasa tertekan,” kata Amelia.

Sementara itu, Fie Cho pula mengakui dia menangis kegembiraan apabila mencatat kemenangan semalam kerana selepas penat berlatih akhirnya memperoleh hasil dengan meraih emas di Sukan SEA.

Bagi Vivian pula, dia merasakan Amelia-Fie Cho bermain cemerlang dan merasakan mereka mungkin tertekan kerana peminat meletakkan harapan untuk mempertahanan emas.

“Semua orang ingat kami akan menang lagi kali ini kerana Sukan SEA yang lalu kami menang emas. Sebab itu kami sedikit tertekan. Saya juga merasakan ada sedikit masalah dengan corak permainan kami,” katanya.

Pingat gangsa dalam acara berkenaan diraih dua wakil Indonesia, Anggia Shitta Awanda-Ni Ketut Mahadewi dan Maretha Dea Giovani-Suci Rizki Andini yang tumpas dalam aksi separuh akhir kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 12:50 PM