Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas acara beregu wanita, Amelia Alicia Anscelly tidak sabar untuk beraksi pada Kejohanan Dunia 2015 Jakarta bulan depan dan bertekad untuk melakukan kejutan menumpaskan beberapa pasangan yang berada di ranking lebih tinggi.

Kayakinan itu bertambah selepas dia bersama pasangan Soong Fie Cho berjaya membawa pulang emas di Singapura apabila menumpaskan rakan senegara dan juga penyandang juara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei.

Menurut pemain kelahiran Sabah itu, sebelum berentap di Jakarta dia akan beraksi di Sirkit Kebangsaan Terbuka Perak 25 hingga 30 Julai ini apabila bergandingan bersama Khe Wei.

“Saya rasa lebih yakin selepas meraih emas Sukan SEA. Saya harap kami akan terus mengekalkan aksi konsisten dan membuat persiapan rapi menjelang Kejohanan Dunia,” katanya yang dihubungi Harian Metro baru-baru ini.

Jelasnya, Kejohanan Dunia kali ini adalah penyertaan kali ketiga buatnya dan memasang impian untuk melakukan kejutan dengan menumpaskan pasangan terbaik dunia.

“Saya akui kami sudah mempamerkan peningkatan dan memperbaiki segala kelemahan yang ada. Bagaimanapun, ia mengambil sedikit masa untuk menjadi gandingan beregu wanita paling sempurna tanpa sebarang kelemahan,” katanya.

Tahun lalu di Kejohanan Dunia Copenhagen 2014, dia dan Fie Cho terkandas di pusingan kedua apabila tumpas dengan pasangan China, Wang Xiaoli-Yu Yang, yang berjaya merangkul gelaran naib juara di kejohanan berkenaan.

Pada penampilan pertama mereka di Guangzhou 2013, mereka turut terkandas di pusingan kedua, ketiks itu dikecewakan pasangan Indonesia, Pia Zebadiah Bernadeth-Rizki Amelia Pradipta.

Selain Amelia-Fie Cho, Vivian-Khe Wei, pemain beregu wanita lain yang akan beraksi ialah Lee Meng Yean-Lim Yin Loo dan Yap Cheng Wen-Joyce Choong.

Kejohanan Dunia 2015 Jakarta akan berlangsung di Istora - Gelora Bung Karno dan ia akan bermula dari 10 hingga 16 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2015 @ 7:58 AM