MENG Yean (kiri) menganggap persediaannya bersama Mei Kuan berjalan lancar.
MENG Yean (kiri) menganggap persediaannya bersama Mei Kuan berjalan lancar.
myMetro

Kuala Lumpur: Beraksi buat julung kali pada Sukan SEA bukan halangan buat pasangan beregu wanita negara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean untuk melakar kejutan malah mereka sudah bersedia andainya ditakdirkan bertemu rakan senegara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei di final bulan depan.

Ia diakui sendiri oleh Meng Yean yang menganggap persediaannya bersama Mei Kuan berjalan lancar dan kedua-duanya mempunyai matlamat untuk sekurang-kurangnya mengecapi nikmat meraih pingat pada temasya dwitahunan itu.

“Persediaan kami amat bagus. Saya dan Mei Kuan hanya fokus kepada Sukan SEA. Kami meletakkan sasaran untuk memenangi pingat dalam penampilan sulung pada temasya ini,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) semalam.

Pemain kelahiran Melaka itu berjanji akan memberikan aksi sebaik mungkin supaya dapat mencapai sasarannya untuk meraih pingat dan tidak berada dalam tekanan kerana fokus lebih terarah kepada gandingan utama, Vivian-Khe Wei.

“Kami juga harus cuba mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu mempertahankan emas Sukan SEA dalam acara beregu wanita. Jika tidak mampu meraih emas dapat merasai nikmat dikalungkan pingat pun sudah cukup buat kami.

“Bagi saya kami tidak berada dalam tekanan walaupun ini aksi sulung di Sukan SEA. Saya pun rasa tidak mustahil untuk berdepan rakan senegara dalam perlawanan akhir,” katanya.

Pada temasya di Singapura dua tahun lalu, beregu wanita negara bertembung sesama sendiri pada final apabila emas dimenangi Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho selepas menumpaskan Vivian-Khe Wei iaitu juara pada edisi 2013 di Myanmar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 5:38 AM