FIE Cho (kanan) dan Amelia mahu terus beri saingan kepada beregu handalan negara lain.
FIE Cho (kanan) dan Amelia mahu terus beri saingan kepada beregu handalan negara lain.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Kejayaan merangkul kejuaraan Grand Prix (GP) Emas Terbuka India 2015 kelmarin menaikkan semangat pemain beregu wanita negara, Soong Fie Cho.

Pemain berusia 26 tahun itu berkata, dia tidak pernah terfikir akan meraih gelaran berkenaan bersama Amelia Alicia Anscelly dan menumpaskan beregu nombor satu negara Vivian Hoo-Woon Khe Wei.

“Saya berasa sangat gembira, pada perlawanan itu saya hanya fikir untuk memberikan yang terbaik saja,” kata pemain kelahiran Sabah itu.

Gandingan Amelia-Fie Cho mengejutkan pilihan pertama, Vivian-Khe Wei pada perlawanan akhir selepas mencatat kemenangan 22-20, 21-15 di Stadium Tertutup Babu Banarasi Das.

Ujar Fie Cho, salah satu punca mereka berjaya mencatat kemenangan sekali gus merangkul gelaran berkenaan ialah kerana persefahaman yang mantap selepas bergandingan sejak kecil lagi.

“Dalam latihan kami sudah tahu kekuatan dan kelemahan satu sama lain. Semalam (kelmarin) ketika di gelanggang kami memang memberi fokus 100 peratus dan banyak bermain secara menyerang.

“Ini kejayaan paling besar sepanjang karier saya sebagai pemain badminton dan selepas ini diharap boleh memberi saingan dengan beregu handalan negara lain,” katanya.

Fie Cho yang sering bertindak di bahagian depan gelanggang juga sudah mula memasang impian besar untuk sekurang-kurangnya mara ke suku akhir GP Emas Terbuka Switzerland pada Mac.

Kedua-dua pemain itu mula digandingkan sejak 2012 walaupun sebelum ini sudah mengenali satu sama lain sejak kecil lagi.

Amelia terlebih dulu menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika berusia 13 tahun, diikuti Fie Cho pada 2012.

Kejayaan mereka di peringkat antarabangsa ketika bersama ialah muncul juara Cabaran Antarabangsa Iran pada 2013 dan pernah muncul naib juara GP Emas Vietnam tahun sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 7:30 AM