Kuala Lumpur: Usaha keras beregu wanita negara, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho akhirnya mendapat habuan lumayan apabila berjaya muncul juara Grand Prix (GP) Emas Terbuka India 2015 menewaskan pilihan utama yang juga rakan senegara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei di Stadium Tertutup Babu Banarasi Das, semalam.

Amelia-Fie Cho yang diletakkan sebagai pilihan keempat, mengambil masa 49 minit untuk mencatat kemenangan 22-20, 21-15 dan ia kejuaraan terbesar pernah diraih sepanjang karier.

Menurut jurulatih beregu wanita negara Rosman Razak, kerja kuat mereka selama ini ketika latihan amat berbaloi dan sepanjang kejohanan di India itu mereka juga mempamerkan corak permainan konsisten sejak dari pusingan pertama.

“Pada perlawanan akhir ini kami dapat lihat Amelia-Fie Cho berjaya menggunakan kesempatan hasil kecederaan Vivian. Saya harap kejayaan ini akan membuatkan mereka bertambah yakin untuk beraksi pada kejohanan akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, Rosman tidak terkejut dengan kekalahan anak buahnya yang juga pilihan utama kejohanan, apabila Vivian mengalami kecederaan jari kedua kakinya.

“Pada awalnya kami tidak pasti sama ada Vivian dapat beraksi pada kejohanan ini apabila keseluruhan kuku jari itu tercabut ketika tiba di sini. Dia beraksi dalam kesakitan, tapi apabila mereka berjaya melangkah ke peringkat akhir, saya anggap ia juga satu kejayaan. Semangat juang mereka membanggakan saya.

“Secara keseluruhan, saya puas hati dengan kejayaan di sini, tapi usaha keras pemain harus diteruskan bagi mencapai misi untuk layak dan menang pingat pada Sukan Olimpik 2016 Rio,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 6:22 AM