Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Chukai: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan fasiliti bersepadu bio-metionina dan tiokimia pertama dunia di Taman Biopolimer Kertih (TBK), di sini, hari ini.

Fasiliti bersepadu bernilai RM2.1 bilion milik CJ CheilJedang (CJ) dari Korea dan Arkema dari Perancis itu bakal melonjakkan Malaysia sebagai peneraju utama bioteknologi perindustrian mesra alam.

Sultan Mizan bertitah, pelaburan CJ dan Arkema di TBK adalah langkah penting untuk ECER, yang mana pembangunan projek fasiliti itu bakal meletakkan Terengganu sebagai hab teknologi baru dan pelopor dalam bidang pembangunan bioteknologi.

Baginda juga merakamkan ucapan terima kasih kepada ECER dan Malaysian Biotechnology Corporation yang memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan yang dimainkan pembangunan projek ini dan memilih Terengganu sebagai lokasi pelaburan projek berkaitan bioteknologi.

Terletak di kawasan seluas 70 hektar di TBK, ia adalah yang pertama di dunia menggunakan proses penapaian dalam menghasilkan bio-metionina, sejenis asid amino yang biasa digunakan dalam pembuatan makanan haiwan.

Turut hadir Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp), Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri Jebasingam Isaac John; Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Arkema, Thierry Le Henaff dan Pengerusi CJ Group, Sohn Kyung Shik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 2:25 PM