Puzi menunjukkan maklumat terperinci mengenai kapal MT Orkim Harmony yang hilang ketika sidang media di ibu pejabat APMM Putrajaya, petang tadi. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Puzi menunjukkan maklumat terperinci mengenai kapal MT Orkim Harmony yang hilang ketika sidang media di ibu pejabat APMM Putrajaya, petang tadi. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Aset APMM dan TLDM yang digunakan untuk pencarian.
Aset APMM dan TLDM yang digunakan untuk pencarian.
Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kehilangan kapal tangki MT Orkim Harmony yang membawa hampir 6,000 metrik tan petrol RON 95 Khamis lalu lebih menjurus kepada rompakan di laut dan bukannya kemalangan atau rampasan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, pihaknya dimaklumkan oleh syarikat kapal berkenaan, sehingga kini tiada wang tebusan yang diminta oleh mana-mana pihak.

"Tak mungkin kapal terbabit dengan kemalangan kerana tiada tanda menghadapi masalah, malah tiada panggilan kecemasan daripada anak kapal.

"Kami percaya kapal berkenaan kini disyaki berada di Kepulauan Natuna dan Anambas, Indonesia,"katanya pada sidang media di sini, petang tadi.

Ahmad Puzi berkata, pihaknya akan melakukan apa saja untuk membantu menjejaki kapal berkenaan termasuk meneliti latar belakang 22 anak kapal yang terdiri daripada 16 warga tempatan, lima warga Indonesia dan seorang warga Myanmar.

Katanya, APMM percaya perompak sedang berusaha mempercepatkan pemindahan petrol RON 95 terus kepada pelanggan kerana kerja pemindahan petrol dari kapal ke kapal di tengah laut lebih merbahaya berbanding diesel.

"Nilai petrol RON 95 milik PETRONAS yang dibawa kapal MT Orkim Harmony dianggarkan RM21 juta,"katanya.

Setakat ini tujuh kapal APMM, tiga kapal TLDM dan sebuah pesawat APMM menyertai operasi mencari kapal berkenaan.

Menurut Ahmad Puzi, semua negara ASEAN sudah dihubungi untuk bantu pencarian.

Senarai anak kapal tangki MT Orkim Harmony

1. Nor Fazly Sahat, 39 (Melaka)

2. Bambang Suryawan, 43 (Indonesia)

3. Mohd Kholil Ashari Mohd Rozar, 27 (Selangor)

4. Mohd Awis Aiman Abdullah, 28 (Kelantan)

5. Mohd Nur Firdaus Nawawi Akihito, 24 (Sarawak)

6. Ooi Jan Tong, 64 (Johor)

7. Nurul Hafis Abdul Rauf, 34 (Perak)

8. Khaw Hock Aun, 61 (Pulau Pinang)

9. Muhamamad Hasren Ellaney Mohd Nasir, 24 (Kelantan)

10. Ariff Adnan Mohd Tajudin, 24 (Johor)

11. Iwan Asriadi, 39 (Indonesia)

12. Nor Zaini Ahmad Bustaman, 22 (Terengganu)

13. Osman Khalid, 23 (Kelantan)

14. Amirul Azim Zabarudin, 21 (Melaka)

15. Mohd Ridzuan Suhaimi, 23 (Negeri Sembilan)

16. Mohamad Adib Jamaludin, 22 (Kedah)

17. Nelson Hasiholan Sitorus, 35 (Indonesia)

18. Ntan Kombongan, 30 (Indonesia)

19. Mawit Matin, 46 (Indonesia)

20. Tan Chee Hau, 23 (Melaka)

21. Muhammad Aiman Shafiz Marzuki, 20 (Pulau Pinang)

22. Myint OO, 49 (Myanmar)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 5:43 PM