Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Satu pasukan khas sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan ‘force boarding’ (naik secara paksa) sekiranya kapal tangki MT Orkim Harmony yang hilang sejak 11 Jun lalu dapat dijejaki.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, pasukan itu terdiri daripada anggota APMM dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berada dalam keadaan bersedia untuk tugasan berkenaan.

“Ketika ini, kita memantau dan meneliti setiap perkara serta segala indikator yang boleh membantu menjejak dan mencari kapal ini.

“Kami mempergiatkan usaha mencari dan menjejaki kapal tangki berkenaan dengan menambah aset udara kepada lima pesawat berbanding satu sebelum ini.

“Malah 1,500 anggota sudah dikerah membantu dan jika perlu kita pertingkatkan lagi jumlah anggota mengikut keperluan,” katanya, semalam.

MT Orkim Harmony, kapal milik syarikat Magna Meridian Sdn Bhd yang dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan dilaporkan hilang pada jam 8.57 malam Khamis lalu, selepas terputus hubungan di kedudukan 30 batu nautika timur Tanjung Sedili, Johor.

Kapal berkenaan membawa muatan 5,879 metrik tan petrol RON 95 dianggarkan bernilai RM21 juta yang dimiliki PETRONAS.

Ahmad Puzi berkata, usaha menambah aset udara itu bagi membolehkan pemantauan dari udara dilakukan lebih menyeluruh.

“Aset berkenaan adalah dua dari APMM, dua dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta satu helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sementara aset di laut kekal 10 kapal.

“Ketika ini, kita sudah mencari di seluruh kawasan perairan di Semenanjung Malaysia, serta sempadan perairan negara, namun tiada sebarang petunjuk baru yang kita peroleh. Namun, kita lihat perkembangan dalam satu atau dua hari ini.

“Pada masa sama, Indonesia juga sudah menghantar tiga kapal untuk membantu menjejaki MT Orkim Harmony di sekitar kepulauan Natuna dan Anambas yang kita syaki kapal tangki ini berada,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama pihak berkuasa lain berusaha sehabis daya memastikan kapal ini ditemui segera.

“Kita tidak akan patah semangat dalam usaha menjejaki kapal ini. Jadi, sama-sama kita berdoa supaya ia ditemui,” katanya.

Sementara jurucakap Orkim Sdn Bhd ketika dihubungi berkata, pihaknya yakin anak kapal MT Orkim Harmony tahu apa yang perlu dilakukan ketika berdepan situasi kecemasan memandangkan semua mereka terlatih.

“Ketika ini tumpuan kami menjejaki dan mencari kapal, dan memastikan keselamatan semua anak kapal. Kami bekerjasama rapat dengan APMM dan TLDM bagi tujuan itu.

“Kami berharap semua anak kapal selamat. Kami sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung operasi mencari dan menyelamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 12:13 PM