Daripada Aziman Rosdi di Bangkok


Jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh percaya anak buahnya mampu meleburkan rekod 10 tahun tanpa kemenangan di bumi Thailand pada pertembungan final pertama Piala AFF di Stadium Nasional Rajamangala, hari ini bagi memberikan kelebihan aksi kedua di Kuala Lumpur.

Kali terakhir Malaysia menang ke atas skuad Gajah Perang itu dalam aksi persahabatan pada 2004, 2-1 dan selepas itu ketandusan kemenangan apabila tewas semua empat perlawanan di Bangkok.

Malah Thailand juga menjadi penghancur impian skuad kebangsaan ke final dua tahun lalu apabila kecundang 0-2 pada separuh akhir kedua selepas seri 1-1 pada aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Namun Dollah, 51, yang berada dalam skuad kebangsaan ketika tumpas 0-1 di final edisi pertama Piala AFF 1996 kepada Thailand, semakin yakin selepas mencatat kemenangan ke atas Vietnam.

“Saya tidak jangkakan pemain beraksi begitu baik di Vietnam selepas 23 tahun tidak pernah menang di sana dan saya harap kami mampu mengulanginya apabila menentang Thailand,” katanya yang kini memburu kejuaraan pertama selaku jurulatih dalam kejohanan pertama antarabangsa.

Malaysia, juara 2010 berjaya melayakkan diri ke final buat kali ketiga selepas membenam Vietnam dengan agregat 5-4 pada separuh akhir.

Dollah yang dilantik menggantikan Datuk K Rajagobal Julai lalu membuat tindakan berani merombak lima pemain dalam perlawanan itu termasuk memberi peluang kepada pemain veteran Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Badri Radzi beraksi.

Beliau percaya pengalaman pemain bakal menjadi kekuatan pasukan dan lega apabila kapten Shukor boleh beraksi hari ini selepas menjalani pemeriksaan doktor kecederaan belakang.

“Shukor sudah menjalani pemeriksaan di hospital semalam dan selepas itu kami rujuk kepada doktor pasukan. Dia OK dan boleh bermain hari ini,” jelas Dollah yang bakal mengekalkan kesebelasan utama ketika menewaskan Vietnam di Hanoi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 6:46 AM