Zaquan lega keputusan di Yangon. FOTO KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Zaquan lega keputusan di Yangon. FOTO KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Keputusan seri tanpa jaringan antara Myanmar dan Vietnam bukan saja membuka peluang buat skuad Harimau Malaya untuk mencabar kedudukan selaku juara Kumpulan A, malah meredakan tekanan buat kem negara yang hanya memerlukan kemenangan tipis untuk mara ke separuh akhir Piala AFF 2018.

Menurut ketua pasukan, Zaquan Adha Abdul Radzak, keputusan seri di Yangon itu sememangnya dinantikan pemain apatah lagi, perlawanan menentang Myanmar akan dilangsungkan di gelanggang sendiri di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

"Sebenarnya perlawanan semalam antara Myanmar dan Vietnam kami semua (pemain negara) sempat tengok pada babak kedua.

"Memang kami mahukan sama ada Vietnam menang atau seri dengan Myanmar. Tapi perlawanan itu berakhir dengan seri dan kira ia satu benda yang positif kepada pasukan kita.

"Kalau Vietnam menang sudah tentu mereka akan jadi juara kumpulan. Apabila dah seri ini, tiga-tiga pasukan berpeluang untuk muncul juara dan dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku.

"Tapi kalau Myanmar menang semalam, mungkin kita dalam keadaan tertekan sebab pasukan perlu mencari gol yang banyak. Jadi keputusan seri itu memberi kelebihan buat Malaysia, cuma kami kena kekalkan fokus dan kena lebih berusaha untuk mencari kemenangan," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Berdasarkan perkiraan matematik, keputusan seri di Yangon menyaksikan Myanmar dan Vietnam terikat dengan tujuh mata, diekori rapat Malaysia di tangga ketiga dengan enam mata sekali gus menyaksikan pertembungan terakhir menjanjikan aksi lebih sengit bagi merebut tiket ke separuh akhir.

Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe perlu menewaskan Myanmar Sabtu ini untuk layak ke separuh akhir dan juara kumpulan akan berada dalam genggaman mereka sekiranya Kemboja mampu mengekang Vietnam daripada meraih mata penuh dalam satu lagi aksi Kumpulan A.

Jelas penyerang Kuala Lumpur itu lagi, dia turut berharap penyokong Harimau Malaya membanjiri Stadium Nasional bagi menaikkan semangat dan motivasi pemain.

"Kelebihan sebagai tuan rumah perlu kita gunakan sebaik-baiknya dan saya harap penyokong akan hadir beramai-ramai.

"Saya dan rakan akan beri komitmen 100 peratus. Macam saya selalu katakan, tidak ada seorang pun pemain bermain untuk kalah dan kami sememangnya mahu main untuk menang. Apa yang penting ikhlas dan jujur, Insya-Allah akan berjaya," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 4:00 PM