KIM Swee.
KIM Swee.
Aziman Rosdi


Shah Alam: Vietnam, Indonesia atau Thailand? Itu persoalan yang kini bermain di fikiran pengendali Datuk Ong Kim Swee selepas skuad bawah 22 tahun (B-22) kendaliannya mara ke separuh akhir dengan mengalahkan Myanmar 3-1 dalam saingan Kumpulan A, kelmarin.

Ketiga-tiga pasukan di dalam Kumpulan B itu sedang berentap merebut dua slot ke pusingan seterusnya yang hanya ditentukan pada perlawanan terakhir esok, sehari selepas Malaysia menghabiskan kempen peringkat kumpulan dengan menentang Laos di Stadium Shah Alam, malam ini.

Skuad muda negara kini menduduki tangga kedua dan berkongsi sembilan mata dengan Myanmar namun boleh memintas pasukan naib juara edisi Singapura 2015 itu andai sekurang-kurangnya seri dengan Laos selain boleh memilih untuk kekal di kedudukan sama.

Myanmar hanya menunggu keputusan terakhir pasukan tuan rumah kerana mereka sudah menamatkan saingan peringkat kumpulan.

“Kita tak boleh memilih pasukan mana yang ingin kita temui di separuh akhir, semestinya kita mahu menang dalam setiap perlawanan tapi akhirnya, pasukan daripada Kumpulan B memiliki kelebihan untuk memilih lawan mereka.

“Bagi saya, kita hanya perlu bersedia, memastikan pemain berada dalam keadaan bertenaga untuk kita bermain lebih bagus pada perlawanan separuh akhir,” kata Kim Swee.

Selepas tiga perlawanan Kumpulan B, Vietnam mengungguli tangga teratas dengan sembilan mata diikuti Indonesia dan juara bertahan Thailand masing-masing tujuh mata.

Malaysia mengejutkan Myanmar dengan kemenangan 3-1 hasil dua jaringan N Thanabalan dan satu gol Safawi Rasid namun Kim Swee menyatakan beliau bakal merehatkan tonggak utama menentang Laos.

“Saya kena melihat semula tahap kecederaan pemain, saya masih belum menurunkan Syazwan (Zaipol). Tapi saya tetap akan membariskan skuad yang baik kerana kemenangan ke atas Laos tetap menjadi keutamaan,” kata bekas pengendali Harimau Malaya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 9:27 AM