SEORANG budak diperiksa oleh pegawai Thai ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok, semalam.
SEORANG budak diperiksa oleh pegawai Thai ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok, semalam.
Agensi

Seoul/Bangkok: Korea Selatan semalam melaporkan tiga kes baru Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).

Pengumuman itu menjadikan jumlah mereka yang dijangkiti virus itu kepada 169 orang, yang terbesar di luar Arab Saudi.

Sementara itu, Thailand berkata, tiada jangkitan baru dilaporkan di negara itu.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Korea Selatan melaporkan kematian ke-25 virus itu lewat kelmarin, membabitkan seorang pesakit yang menghidap masalah jantung dan kencing manis.

Korea Selatan mula mengesahkan penularan virus berkenaan di negara itu pada 20 Mei.

Thailand yang mengesahkan kes pertamanya minggu lalu berkata, 175 orang terdedah kepada satu-satunya penghidap virus berkenaan.

Sehingga semalam, tiada jangkitan baru dilaporkan.

“Kami boleh mengesahkan tiada pesakit baru,” kata Menteri Kesihatan Rajata Rajatanavin ketika dia membawa wartawan melawat Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok untuk menunjukkan langkah kesihatan dan keselamatan yang diambil.

Sementara itu, Menteri Pelancongan Thai Kobkarn Wattanavrangkul berkata, sektor pelancongan negara itu tidak terjejas dengan pengesahan pertama pesakit MERS negara itu.

MERS mula dikesan pada manusia di Arab Saudi pada 2012 dan majoriti kes itu berlaku di Asia Barat.

Saintis sehingga ini tidak dapat memastikan punca virus berkenaan.

Bagaimanapun, beberapa kajian mendapati ia ada kaitan dengan unta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 9:43 AM