SEORANG pekerja kesihatan memakai pakaian perlindungan penuh ketika menjaga pesakit dijangkiti MERS di Pusat Perubatan Seoul.
SEORANG pekerja kesihatan memakai pakaian perlindungan penuh ketika menjaga pesakit dijangkiti MERS di Pusat Perubatan Seoul.
AP

Seoul: Pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Korea Selatan semalam menggesa 2,500 sekolah yang sebelum ini ditutup disebabkan penularan wabak Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) dibuka semula.

Pegawai Korea Selatan minggu ini menganggap wabak itu sudah mencapai kemuncaknya, namun beberapa hari akan datang adalah penting bagi menentukan sama ada usaha mereka mengasingkan pesakit yang dijangkiti berjaya mengekang virus itu.

Pejabat Presiden Park Geun-hye mengumumkan semalam pemimpin itu menangguhkan lawatannya ke Amerika Syarikat (AS) untuk memberi fokus terhadap usaha menangani wabak itu.

Seramai sembilan orang mati dan lebih 100 dijangkiti MERS di Korea Selatan.

Bagaimanapun, semua kejadian berlaku di hospital.

Jangkitan berlaku akibat pendedahan dengan pesakit, bukannya melalui udara.

Namun, penduduk dilanda kebimbanghan dan lebih 2,470 sekolah masih ditutup selain 3,440 diasingkan kerana terdedah kepada mereka yang dijangkiti.

Kenyataan misi bersama WHO-Korea Selatan yang memantau penularan itu berkata: “Pihak berwajib perlu menimbang untuk membuka semula sekolah kerana ia tidak dikaitkan dengan penyebaran virus MERS.”

Doktor di Korea Selatan menganggap penutupan sekolah sebagai tidak masuk akal kerana tiada bukti menunjukkan penyakit itu disebarkan dalam kalangan masyarakat.

Tidak diketahui berapa sekolah yang akan mematuhi cadangan itu. Namun pihak berkuasa mengharapkan wabak itu mampu dikawal sepenuhnya menjelang Jumaat - hari terakhir tempoh inkubasi dua minggu virus berkenaan bagi pesakit yang dianggap sumber utama gelombang kedua MERS.

Namun pengkritik berkata penyakit itu akan terus tersebar jika golongan yang dijangkiti tidak mengendahkan arahan kuarantin dikenakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 7:25 AM