Jururawat memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga terhadap jangkitan MERS ketika menghadiri persidangan di Seoul.
Jururawat memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga terhadap jangkitan MERS ketika menghadiri persidangan di Seoul.

Seoul: Korea Selatan semalam melaporkan wabak Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) yang sudah membunuh 24 orang dilihat kian reda selepas hanya satu kes jangkitan terbaru dilaporkan sekaligus mencatatkan kadar yang lebih rendah dalam tempoh dua minggu.

Laporan itu menjadikan jumlah kes jangkitan yang dicatatkan sejak ia pertama kali disahkan pada 20 Mei lalu sebanyak 166, kata kementerian kesihatan.

Bilangan mereka yang dikuarantinkan turut menurun 12 peratus sejak kelmarin, sehari selepas Thailand melaporkan kes jangkitan pertama mereka.

Sementara itu,102 penduduk kampung yang dikuarantinkan sejak dua minggu lalu sudah dibenarkan meneruskan aktiviti seperti biasa.

Seorang pegawai kementerian kesihatan berkata: “Nampaknya, wabak itu mula reda. Tetapi kami perlu menunggu dan melihat jika ada kes jangkitan terbaru dilaporkan.”

Kes terbaru yang disahkan membabitkan lelaki berusia 62 tahun yang dijangkiti virus itu ketika menjaga ahli keluarganya yang sakit di Pusat Perubatan Samsung.

Hospital terbabit digantung perkhidmatan kepada pesakit luar sejak Ahad lalu dan akan ditutup untuk rawatan lain sekurang-kurangnya sehingga Rabu depan. Setakat ini, 112 pesakit yang dirawat dan 30 lagi yang sudah sembuh dibenarkan pulang.

Kampung Jangdeok di Sunchang County selatan Seoul kembali normal selepas sekatan jalan raya menuju ke kampung itu dibuka semula semalam, lapor agensi berita Yonhap.

Kampung terbabit diletakkan dalam kuarantin selepas seorang penduduk berusia 72 tahun disahkan dijangkiti virus MERS.

Petani berusia 72 tahun, Park Yoo-Hyun berkata: “Lega rasanya. Sewaktu dikuarantin saya merasa seperti banduan”

Sekatan ke atas satu lagi kampung akan ditamatkan Isnin ini sekiranya tiada kes baru di sana. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 8:15 AM