PEMAIN Selangor Hanis Farhana Shamsul Azizan (kiri) menyekat asakan pemain Kuala Lumpur Masyita Mohd Tajid, semalam.
PEMAIN Selangor Hanis Farhana Shamsul Azizan (kiri) menyekat asakan pemain Kuala Lumpur Masyita Mohd Tajid, semalam.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Shah Alam: Nasib berbeza dialami juara Liga Futsal Kebangsaan (LFK) FAM-FELDA 2015 kategori lelaki, FELDA United FC dan wanita, Selangor dalam aksi pembukaan saingan Grand Final semalam.

Juara kategori lelaki LFK FELDA United FC bernasib baik apabila tidak mengalami kekalahan manakala Selangor gah melakar kemenangan besar.

Pada saingan Grand Final yang berlangsung di Stadium Kompleks Sukan Negara Panasonic, FELDA United berada di ambang kekalahan sebelum bangkit meledak jaringan pada penghujung perlawanan untuk mengikat Selangor 5-5.

FELDA United bermula baik apabila mendahului 3-1 pada separuh masa pertama namun lawan mempamerkan kebangkitan untuk mendahului 5-4 sebelum juara bertahan itu menyamakan kedudukan untuk mencatat keputusan seri.

“Kami lepaskan banyak peluang cuma bernasib baik pemain tidak tertekan apabila ketinggalan. Syukur kami tidak tewas,” kata jurulatih FELDA United Zul Azmi Zulkifli.

Katanya pemain FELDA United perlu memanfaatkan peluang pada aksi kedua menentang Melaka hari ini.

”Saya berpuas hati dalam aspek permainan ditunjukkan cuma kami terlampau banyak mensia-siakan peluang meledak jaringan selain perlu mengelak daripada melakukan kesilapan mudah,” tambahnya.

Sementara itu skuad wanita Selangor memulakan aksi cemerlang apabila membelasah Kuala Lumpur 6-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan A.

Saingan hari kedua diteruskan hari ini dengan dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan melangkah ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 8:50 AM