PEMAIN FELDA United, Muhammad Azri Rahman (tengah) cuba menghalang rembatan pemain Selangor MPSJ, semalam.
PEMAIN FELDA United, Muhammad Azri Rahman (tengah) cuba menghalang rembatan pemain Selangor MPSJ, semalam.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Shah Alam: Juara bertahan kategori lelaki, FELDA United FC berada dalam landasan tepat untuk meraih kejuaraan berganda apabila mengesahkan kemaraan ke separuh akhir merebut Piala Liga Futsal Kebangsaan (LFK) FAM-FELDA 2015.

Mereka yang muncul juara dalam kejuaraan LFK baru-baru ini berjaya menjuarai saingan Kumpulan A dengan mengumpul tujuh mata.

Jurulatih FELDA United Zul Azmi Zulkifli berkata, beliau gembira dengan kemaraan ke separuh akhir selepas mengharungi saingan sengit Kumpulan A namun mengingatkan pemain agar tidak leka.

“Saya berharap kami mampu mengekalkan rentak kemenangan. Tekanan pasti lebih kerana kami turun sebagai juara bertahan dan perlu mencapai sasaran muncul juara.

“Saya berharap pemain dapat mengurangkan kesilapan mudah dalam permainan, ia masih berlaku. Apabila bertemu pasukan yang baik, ia bakal mengundang padah,” tambahnya.

FELDA United FC dijangka tidak dapat menurunkan dua pemain utamanya iaitu Ali Mahat dan Ahmad Faizal Abdul Karim kerana kecederaan namun Zul Azmi tidak gusar.

Sementara itu separuh akhir kategori wanita menyaksikan pertembungan menarik di separuh akhir membabitkan Selangor menentang FELDA United hari ini selepas Sabah melakar kejutan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.

Sabah berjaya menewaskan FELDA United 2-1 untuk muncul juara Kumpulan B dan bakal bertemu naib juara Kumpulan A MPSJ FC dalam satu lagi aksi separuh akhir di Kompleks Sukan Negara Panasonic.

Empat aksi separuh akhir dijadualkan bermula 2 petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 8:16 AM