FATIN FARHANA JAPRE berkongsi hobi tiga beradik yang sukakan sukan permotoran ‘mini bike’ sejak mereka masih kecil.

Mohamad Hazim Rosmaza, 13, Mohamad Haziq Rosmaza, 12 dan Mohamad Harith Rosmaza, 11, bakal menggegar dunia sukan permotoran pada masa akan datang dengan bakat dan jiwa kental mereka yang tidak takut pada kelajuan di litar lumba. Malah, mereka sudah meraih pelbagai kemenangan membuatkan penulis kagum dengan bakat mereka.

Menurut Hazim Rosmaza, dia meminati sukan permotoran kerana ayahnya bekas pelumba. Ketika berusia tujuh tahun, dia mula mengikuti perkembangan pelumba motosikal Grand Prix di luar negara menerusi akhbar dan media sosial.

“Mungkin ayah nampak minat saya sama macam dia, jadi dia belikan saya sebuah ‘mini bike’ dan kerap bawa saya berlatih di litar. Hanya sebulan, saya boleh bawa dengan laju dan tidak gentar di litar sehingga kini.

“Memandangkan saya masih kecil, ibu bapa saya sentiasa memberikan komitmen dari segi masa dan kewangan walaupun pada awalnya ibu tidak bersetuju dengan hobi saya ini. Kini tidak lagi apabila dua orang adik lelaki saya meminati hobi sama dan kami sentiasa meraih kemenangan di setiap pertandingan,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Menurut ayahnya, Rosmaza Ramli, 49, dia berharap tiga anak lelakinya itu menjadi pelumba Grand Prix pada masa hadapan.

“Saya nampak anak ketiga boleh pergi lebih jauh kerana jiwanya lebih agresif berbanding abangnya. Kalau boleh saya mahu semua anak saya berlumba di litar Sepang suatu hari nanti tetapi tahap kebolehan mereka tidak semuanya sama.

“Setiap seorang anak, saya melabur hampir RM30,000 untuk sebuah ‘mini bike’ dan sut berlumba. Manakala untuk membaiki kerosakan motosikal termasuk logistik mereka lebih kurang RM45,000 setahun. Namun sesudah saya menubuhkan kelab Nogori Motorsports, anak-anak saya mendapat tajaan penuh dari kerajaan Negeri Sembilan.

“Selain itu, mereka dibawa ke litar di Subang, Selangor untuk latihan dua kali seminggu dan ke gimnasium tiga kali seminggu. Dari segi akademik pula, saya tidak mengganggu masa belajar mereka kerana saya mahu mereka seimbang dalam bidang akademik dan kurikulum. Anak ketiga juga dianugerahi Tokoh Sukan Sekolah pada tahun lalu,” katanya yang bekerja sebagai penjual kereta.

Berkongsi kejayaan tiga beradik ini, mereka pernah menakluki podium di Bandar Perda, Pulau Pinang. Mohamad Hazim meraih tempat pertama, Mohamad Haziq meraih tempat ketiga dan Mohamad Harith meraih tempat kedua dalam kategori Nobie.

Namun mereka yang ditemui penulis di Kajang Mini Bike Challenge baru-baru ini tidak bernasib baik apabila hanya anak ketiga, Mohamad Harith meraih tempat kedua dalam kategori Rokie bawah 10 tahun di Stadium Kajang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2015 @ 5:00 AM