HAKIM Danish ketika sesi perjumpaan bersama Wan Sukairi. FOTO FB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah
HAKIM Danish ketika sesi perjumpaan bersama Wan Sukairi. FOTO FB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah
BERNAMA

Kuala Terengganu: Pelumba cilik dari Terengganu, Muhammad Hakim Danish Ramli melaungkan tekad untuk cemerlang walaupun kali pertama beraksi di pentas Asia pada Kejohanan Idemitsu Asia Talent Cup 2021 bermula pertengahan Mac ini.

Menyedari saingannya nanti adalah barisan pelumba hebat dari luar negara, namun remaja berusia 14 tahun itu tidak sedikit pun berasa gentar malah menetapkan sasaran untuk menghuni lima kedudukan teratas.

"Walaupun saya jangkakan pelumba dari luar negara mesti lebih laju namun saya akan sedaya upaya memberikan saingan yang sengit dan akan lawan mereka," katanya selepas sesi perjumpaan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Muhammad Hakim Danish antara peserta termuda dalam kejuaraan 12 siri itu akan bersaing dengan 21 peserta remaja lain dari lapan negara Asia Pasifik termasuk Thailand, Indonesia dan India.

Pelajar SMK Sultan Mansor itu berkata minatnya terhadap sukan permotoran bermula sejak lapan tahun apabila diajar oleh bapanya Ramli Ibrahim untuk menunggang motosikal jenis 'mini bike'.

"Selepas itu ayah bawa saya main di litar dan bawa bertanding ke negeri-negeri sehinggalah saya menjuarai Kejohanan Permotoran SIC MiniGP, di Litar Kart Antarabangsa Sepang tahun lepas yang melayakkan saya menyertai Kejohanan Idemitsu Asia Talent Cup 2021," katanya yang akan berlepas ke Qatar minggu depan bagi memulakan siri kejuaraan itu.

Sementara itu, Wan Sukairi berkata usaha Muhammad Hakim Danish yang menyalurkan minatnya dalam dunia perlumbaan di landasan betul wajar dicontohi remaja lain.

"Sebagai anak Terengganu, kerajaan negeri berbangga dengan Muhammad Hakim Danish. Kita (kerajaan negeri) telah mengikuti perkembangan beliau sebelum ini lagi.

"Kita akan sentiasa memberikan komitmen dan sokongan kepada pelumba-pelumba cilik di negeri ini supaya suatu hari nanti mereka dapat mengharumkan nama negara di mata dunia," katanya.

Pada perjumpaan tersebut, Wan Sukairi menyampaikan sumbangan wang tunai dari kerajaan negeri sebanyak RM10,000 bagi kegunaan Muhammad Hakim Danish sepanjang dia di luar negara nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 5:55 PM