DRON CH-6 berupaya melakukan serangan lebih tepat. FOTO Agensi
DRON CH-6 berupaya melakukan serangan lebih tepat. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: China melancarkan dron antikapal selam yang dapat memintas sasaran ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di tengah kebimbangan mengenai Perang Dunia Ketiga dan ketika Beijing terus mengancam Taiwan.

CH-6 berupaya melakukan serangan lebih tepat ke sasaran terutama di Laut China Selatan, lapor The Sun.

Penyelidik berkata, ia akan meningkatkan kemampuan pemantauan dan serangan China terhadap pasukan AS serta sekutu yang beroperasi di wilayah Indo-Pasifik.

Dilancarkan di pameran udara terbesar di Zhuhai, dron yang dibangunkan Perbadanan Sains dan Teknologi Angkasa Lepas China dapat terbang selama 20 jam pada ketinggian 15,000 meter, memiliki kepantasan 724 kilometer sejam dan jarak sekitar kira-kira 14,480 kilometer.

CH-6 yang memiliki lebar sayap 20.5 meter (m) dan panjang 15m juga dapat melancarkan peluru berpandu kecil serta sederhana dan peluru berpandu antiradiasi.

Dirancang untuk meningkatkan kemampuan menyerang dan pertahanan Angkatan Udara China, ia diharapkan 'berkesan dari segi jarak serangan', lapor South China Morning Post.

Dron berkenaan adalah satu dari dua dron baru yang dipamerkan dalam pameran udara itu ketika pemantauan udara oleh tentera ke atas Taiwan ditingkatkan.

Selain CH-6, teknologi pertempuran udara lain adalah dron pemantau altitud tinggi, WZ-7, pesawat udara tanpa pemandu (UAV) untuk menjalankan misi pengawasan sempadan dan rondaan maritim.

Sebelum ini, ia dikenali dengan nama Soar Dragon yang mempunyai reka bentuk bersayap dan bersaiz besar dengan kemampuan terbang untuk tempoh lama.

Dron itu mempunyai lebar sayap 24m dan panjangnya 14m, menjadikannya salah satu dron terbesar di China

Senjata baharu itu dilancarkan susulan Taiwan berjanji mempertingkat pemilikan aset ketenteraannya untuk mempertahankan diri daripada ancaman China.

Komitmen itu dibuat selepas tentera udara China melakukan 500 penerbangan zon pengenalan pertahanan udara Taiwan pada 2021.

China mendesak supaya wilayah pulau itu perlu disatukan kembali dengan tanah besar dan akan melakukannya secara paksa, jika keadaan mendesak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 7:00 AM