Oleh Shahrul Nizam Mohamad


Kuantan: Dua kakitangan negeri Bahagian Unit Komputer mengalami sesak nafas berikutan berlaku kebocoran gas di tingkat enam bangunan Wisma Sri Pahang di sini, pagi tadi.

Kakitangan lelaki dan wanita berusia lingkungan 40 tahun berkenaan dilaporkan tidak sedarkan diri ketika kejadian 11.35 pagi dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini, untuk rawatan lanjut.

Setiusaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, kedua-dua mangsa adalah antara 12 kakitangan di bahagian jabatan komputer ditempatkan bersama-sama dengan Pejabat Kewangan negeri di tingkat enam.

Beliau berkata, kakitangan berkenaan diarahkan untuk meninggalkan kawasan bangunan buat sementara sehingga pihak jabatan bomba dan penyelamat menyelesaikan siasatan punca berlaku kejadian itu.

Difahamkan, gas yang bocor berpunca daripada sistem pemercik di bilik server sebelum ia memasuki kawasan pejabat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 2:30 PM