SEORANG daripada mangsa (tengah) yang terhidu gas bocor menerima rawatan.
SEORANG daripada mangsa (tengah) yang terhidu gas bocor menerima rawatan.

Kuantan: Dua kakitangan Bahagian Unit Komputer negeri yang sedang bertugas pengsan selepas sesak nafas akibat kebocoran gas di tingkat enam bangunan Wisma Sri Pahang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.35 pagi, dua kakitangan masing-masing lelaki dan wanita berusia lingkungan 40-an dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk mendapatkan rawatan dan mereka dilaporkan stabil.

Difahamkan, kebocoran gas itu berpunca daripada sistem pemercik di bilik server sebelum ia memasuki kawasan pejabat.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, kedua-dua mangsa antara 12 kakitangan di bahagian terbabit yang ditempatkan bersama Pejabat Kewangan negeri di tingkat enam.

“Susulan kejadian itu, semua kakitangan yang bertugas di bahagian berkenaan diarahkan meninggalkan kawasan bangunan buat sementara waktu bagi memudahkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Ubi Adri Awang Mohamad berkata, pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian terbabit pada jam 11.40 pagi sebelum bergegas bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 10:26 AM