Seorang lelaki meninggal dunia akibat cedera parah selepas dipukul sekumpulan individu di Rantau Panjang. - Foto hiasan
Seorang lelaki meninggal dunia akibat cedera parah selepas dipukul sekumpulan individu di Rantau Panjang. - Foto hiasan
Junaidi Ladjana


PENGUNJUNG di pusat beli belah Centre Point, di Kota Kinabalu, gempar susulan penemuan mayat wanita tertiarap dipercayai terjatuh dari tingkat atas bangunan berkenaan, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, mangsa berusia 39 tahun yang beralamat di Limbang, Sarawak, disyaki terjatuh dari tingkat enam sebelum ditemui oleh pengunjung dan pengawal keselamatan di bangunan berkenaan selepas terdengar dentuman kuat.

Pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Alip, 22, berkata, ketika kejadian baru saja keluar dari pintu pusat beli belah berkenaan sebelum terdengar dentuman kuat.

“Saya sangkakan kayu yang terjatuh, namun terkejut apabila melihat wanita dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di ruang kaki lima di luar bangunan berkenaan.

“Tidak pasti wanita itu terjatuh dari tingkat berapa... tapi keadaannya parah dan tangannya menggenggam kunci,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, pengawal keselamatan yang turut berada berhampiran mayat itu segera memaklumkan kepada pengurusan bangunan berkenaan sebelum sepasukan polis tiba di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti mangsa membunuh diri atau terjatuh.

“Siasatan masih dijalankan termasuk memeriksa kereta mangsa yang parkir di tingkat enam.

“Mayat mangsa di bawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 9:29 AM