Juara Piala FA 2015. FOTO Asyraf Hamzah
Juara Piala FA 2015. FOTO Asyraf Hamzah
Pemain Lions XII, gembira selepas berjaya menjadi juara Piala FA menewaskan Kelantan 3-1. FOTO Osman Adnan
Pemain Lions XII, gembira selepas berjaya menjadi juara Piala FA menewaskan Kelantan 3-1. FOTO Osman Adnan
Oleh Azlan Muhammad Zain dan Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: LionsXII melakar sejarah muncul kelab pertama memenangi Piala FA selepas menewaskan Kelantan 3-1 di pentas final malam tadi.

Ia juga membolehkan kelab dari Singapura itu meraih kejuaraan kedua selepas memenangi Liga Super pada 2013.

Pada awal permainan, Kelantan memperoleh beberapa peluang terbaik meledak jaringan pada babak pertama terutamanya menerusi penyerang importnya dari Columbia Erwin Carrillo.

Bagaimanapun, pemain itu gagal menewaskan Izwan Mahbud yang beraksi dengan cemerlang mengawal gawang.

LionsXII membuka jaringan seawal minit keenam apabila kelekaan Nik Shahrul Azim Ab Halim dimanfaatkan Mohd Faris Ramli menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Faris, pemain skuad Sukan SEA Singapura, bijak melakukan larian di belakang Nik Shahrul Azim untuk menyambut hantaran jauh Izzdin Shafiq Yacob selepas melepaskan rembatan melepasi jangkauan Khairul Fahmi.

Selepas bertali arus menyerang Kelantan akhirnya meledak jaringan penyamaan pada minit ke-62 hasil ledakan Wan Zack Haikal Wan Noor untuk menewaskan Izwan Mahbub di gawang LionsXII.

Ia hasil tolakan Gilmar Da Silva yang berjaya disudahkan bekas pemain Harimau Muda A itu

Kelantan kian bersemangat apabila memasukan Norfarhan Muhammad dan Austin Amutu namun lawan pula yang menambah jaringan.

Kesilapan Nik Shahrul Azim sekali lagi membawa padah dengan Mohd Sahil Suhaimi meledak jaringan pada minit ke-81 apabila rembatannya di luar kotak penalti gagal diselamatkan Khairul Fahmi. LionsXII akhirnya dihadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan apabila Amirizwan Taj Tajuddin menjatuhkan Sahil.

Sahil kemudian meledak jaringan ketiga LionsXII untuk memastikan Piala FA dijulang kelab Singapura itu.

Sementara itu, penjaga gol LionsXII Izwan Mahbud dipilih pemain terbaik perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2015 @ 11:32 PM