Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) membidas mutu pengadilan Mohd Amirul Izwan Yaacob yang disifatkan tidak cukup ‘masak’ dan matang untuk mengadili perlawanan penting seperti separuh akhir kedua antara Terengganu dan LionsXII pada malam kelmarin.

Presiden PBSNT Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid yang geram dengan prestasi buruk pengadil itu memaklumkan, pihaknya sudah menghantar surat bantahan kepada FAM pagi semalam, untuk mengkaji secara mendalam insiden jaringan Ahmad Nordin Alias pada minit terakhir dibatalkan termasuk daripada sudut rasuah.

Menurutnya, beliau pelik dengan tindakan FAM menyenaraikan pengadil dari Perak itu yang boleh dikatakan masih kurang pengalaman tambahan pula perlawanan itu menjadi tumpuan antara dua negara berjiran.

“Kesimpulan yang dapat kami buat adalah pengadil itu tidak layak mengadili perlawanan penting kerana banyak keputusannya tidak profesional sekali gus merompak kemenangan Terengganu.

“Saya menuntut FAM mengkaji secara mendalam termasuk daripada sudut unsur rasuah kerana ia bukan hanya menjejaskan mutu bola sepak negara, malah boleh membabitkan perkara tidak diingini sehingga mencetuskan rusuhan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidinu,” katanya.

Mengulas saranan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman yang mahukan skuad Peteh menarik diri dalam kancah Liga M, beliau berkata, PBSNT akur dengan keputusan beliau sekiranya FAM tidak membenarkan Terengganu memenangi perlawanan itu atau mengadakan perlawanan ulangan jika gol minit terakhir tidak ofsaid.

Beliau yang begitu kecewa dengan banyak keputusan mengelirukan daripada pengadil termasuk penjaga garisan yang lembab membuat keputusan.

“Dalam insiden gol minit terakhir itu, pengadil pada mulanya sudah menunjukkan tangan ke arah garisan tengah perlawanan menandakan gol tetapi mengubah keputusan selepas melihat penjaga garisan mengangkat bendera.

“Keputusan itu sekali gus menerbitkan rasa tidak puas hati pemain dan penyokong hinggalah berlaku perkara tidak diingini,” katanya secara sinis menyindir FAM kerana gagal menyediakan pengadil berwibawa.

Pada aksi itu, Mohd Amirul Izwan turut dibantu penjaga garisan satu Mohd Yusri Muhamad dan Azman Ismail sebagai penjaga garisan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2015 @ 5:01 AM