AMBULANS turut dibakar.
AMBULANS turut dibakar.
MOHD Amirul (dua kanan) dikawal anggota keselamatan selepas perlawanan.
MOHD Amirul (dua kanan) dikawal anggota keselamatan selepas perlawanan.
Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia menyiasat insiden rusuhan dicetuskan penyokong Terengganu sebaik tamat pertembungan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin.

Kerana tidak puas hati dengan keputusan pengadil yang menyaksikan pasukan tuan rumah gagal ke final Piala FA meskipun menang 3-2 ke atas LionsXII pada perlawanan itu, penyokong skuad Penyu bertindak ganas membakar stadium, meletupkan ambulans serta memecahkan kaca pintu utama stadium berkenaan.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya akan meneliti insiden itu dan menasihati penyokong agar tidak membuat andaian awal hingga boleh mengeruhkan lagi keadaan.

“Kita belum terima secara rasmi laporan mengenai perlawanan itu tapi secara lisan saya sudah dimaklumkan. Jawatankuasa Pengadil akan melihat kes ini tapi penyokong perlu terima keputusan tanpa melakukan perkara tidak elok seperti semalam (kelmarin).

“Memang kita kesal dengan apa yang berlaku. Walaupun kita sudah melancarkan kempen Anti Hooligan tapi insiden seperti ini masih berlaku. Dalam bola sepak semua pihak perlu menerima keputusan, tak boleh buat andaian sendiri mengenai sesuatu keputusan kerana kita ada peraturan,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Kemuncak kemarahan penyokong Terengganu berlaku apabila pengadil Mohd Amirul Izwan Yaacob (gambar) membatalkan gol keempat Terengganu selepas mendakwa penjaring gol Nordin Alias berada dalam kedudukan ofsaid pada minit-minit terakhir perlawanan.

Tiga gol tidak cukup buat anak buah Abdul Rahman Ibrahim mara ke final apabila LionsXII memiliki kelebihan gol di tempat lawan dengan agregat 4-4.

Tambah membangkitkan kemarahan penyokong apabila beberapa pemain tuan rumah membantah keputusan itu termasuk penyerang import Paulo Rangel yang menyerang penjaga garisan sehingga dilayangkan kad merah.

“Tindakan beberapa pemain juga menimbulkan kemarahan penyokong. Tindakan pemain seperti Rangel itu juga salah kerana membuat provokasi. Sebagai pemain dia kena tahu juga peraturan dan menerima keputusan yang sudah dibuat,” jelas Hamidin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2015 @ 5:01 AM