NAK dapatkan bentuk badan sesuai.
NAK dapatkan bentuk badan sesuai.
Oleh Michelle Gun


Bosan sering diberikan watak remaja, pelakon Zoey Rahman kini mengambil beberapa inisiatif untuk mengubah penampilannya agar nampak lebih matang.

Pelakon drama Tuan Rumah Pembantu Rumah itu mengakui watak sedemikian kurang sesuai dengan usianya yang sudah memasuki 30 tahun.

“Kalau boleh, saya mahu diberi watak berbeza dan lebih berat berbanding sebelum ini kerana mahu melihat kemampuan sampai tahap mana.

“Dalam usia sekarang rasanya tak sesuai nak bawa watak pelajar sekolah,” katanya.

Menurut Zoey, selain mengubah penampilannya, dia kini mengikuti program senaman di gimnasium malah turut me­ngambil jurulatih peribadi.

“Bukan mahu badan menjadi sasa, tetapi cuma nak dapatkan bentuk badan sesuai. Saya juga mengambil jurulatih untuk membimbing dalam senaman,” katanya.

Dari segi penampilan pula, pelakon itu berkata, dia mengubah cita rasa pemakaiannya dan kini memilih gaya berkonsep­kan korporat.

“Sebelum ini, saya suka pakaian berwarna-warni namun sekarang mahukan gaya yang sesuai dengan usia, tambahan pula saya kini aktif dalam perniagaan,” katanya.

Menceritakan mengenai perkembangan kerjayanya, pelakon itu kini sibuk mengacara program televisyen Kenali Pemimpin bagi siaran TV Alhijrah.

“Dalam program sebanyak 13 episod itu, saya berpeluang menemubual pemimpin, menteri dan kerabat diraja. Memang seronok mengacarakan program ini kerana dapat mendekati mereka,” katanya.

Kali pertama mengendalikan program korporat, Zoey me­ngakui tugasan itu agak mencabar kerana perlu membuat banyak kajian mengenai latar belakang dan mempelajari mengenai protokol.

“Saya gembira apabila diberi kepercayaan untuk mengendalikan program

lebih serius dengan konsep berbeza kerana sebelum ini, saya juga banyak mengacara program kanak-kanak,” katanya.

Selain mengacara Kenali Pemimpin, Zoey berkata, dia baru selesai menjalani penggambaran filem seram Aku Haus Darahmu yang dilakonkan bersama Nad Zainal.

Sementara itu, Zoey menjadi artis undangan dalam program masakan bersama Datuk Chef Ismail dan program itu bakal ditayangkan pada 3 Jun ini, pada setiap Rabu, jam 6 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2015 @ 5:00 AM